Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kajian berkaitan aspek kriminologi dijalankan Program Sains Forensik, Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati penggunaan racun lazimnya menjadi pilihan penjenayah wanita.

Pakar psikologi dan kriminologi USM, Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, kaedah melakukan jenayah antara wanita dan lelaki dibezakan menerusi beberapa faktor termasuk jumlah tenaga dan tahap keganasan diperlukan.

Beliau berkata, penjenayah lelaki jarang memilih racun sebagai kaedah untuk melumpuhkan mangsa, kecuali dalam situasi untuk mengelirukan atau menyembunyikan identiti penjenayah itu sendiri.

“Selain itu penjenayah lelaki mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan jenayah secara ‘up close’ atau secara dekat dan mempunyai elemen sentuhan kasar.

“Oleh sebab itu penjenayah wanita lebih terdedah dengan jenayah penggunaan racun kerana ia tidak memerlukan jumlah tenaga yang banyak,” katanya.

Menurut Geshina, terdapat pelbagai pendekatan yang diaplikasikan oleh penjenayah sebelum mereka melancarkan serangan terhadap mangsa.

“Hasil temubual pasukan saya dengan banduan menunjukkan masa yang paling singkat ialah satu jam sebelum melakukan jenayah.

“Jika menggunakan racun ketelitian perancangan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemahiran menggunakan cecair terbabit. Ia memerlukan set ilmu dan kemahiran tinggi.

“Bukan saja ilmu memilih jenis racun, malah pengetahuan untuk menukarkan cecair terbabit dari bentuk asalnya kepada bentuk yang mudah dibawa tanpa kesan negatif kepada pelaku atau penjenayah,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kematian Kim Jong-num iaitu abang pemimpin Korea Utara, Geshina berkata, ia berkemungkinan dilakukan secara berkumpulan.

“Dalam kes jenayah yang membabitkan VIP atau keadaan yang membawa risiko tinggi kepada penjenayah, jenayah akan dilakukan secara berkumpulan.

“Setiap ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab tertentu dan pembentukan kumpulan penjenayah sebeginilah yang didapati dalam kes kematian Kim Jong-nam. Faktor masa, mengetahui jadual perjalanan, dan pengetahuan mengenai selok belok lokasi perlu diketahui,” katanya.

Ditanya berhubung dakwaan kes pembunuhan berkenaan yang menggunakan ‘scapegoat’ atau kambing hitam, beliau menjelaskan keadah menjadikan individu yang boleh dikorbankan adalah taktik lazim.

Menurutnya, mengelirukan pihak polis adalah kebiasaan kerana penjenayah tidak mahu ditangkap dan didakwa.

“Selain itu, kekeliruan sengaja ditimbulkan supaya memberi masa untuk bukti pupus, melambatkan siasatan, dan menimbulkan huru hara,” katanya.

Beliau berkata, kecekapan pihak polis malaysia dalam menangani insiden pembunuhan warga Korea juga perlu dipuji kerana mereka berjaya menepis percubaan mengelirukan.

“Kes berkaitan dengan warga korea ini adalah pembunuhan jenis ‘instrumental’, iaitu terancang. Pembunuhan dilakukan dengan niat memperolehi sesuatu status, barangan, layanan, atau perkhidmatan.

“Namun PDRM bergerak pantas, berpandukan fakta dan menjalankan siasatan secara terperinci. Mereka tidak tunduk di bawah tekanan daripada pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa, Jong-nam iaitu abang kepada Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, maut selepas dikatakan disembur dan ditekup dengan kain mengandungi cecair racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Selepas itu, dua wanita warganegara Vietnam dan Indonesia ditahan dan direman 7 hari di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 2:31 AM