NASIR bersama jurukamera ketika penggambaran KSJ di sekitar Pudu, Kuala Lumpur.
NASIR (tiga dari kanan) berbincang dengan kru serta Pyanhabib (kanan) dan M Nasir (kiri).

Bagi sesetengah orang, filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) yang diterbitkan pada 1986 ini mungkin sekadar filem biasa.

Namun tidak bagi peminat muzik rock. Dari tahun itu hingga hari ini, filem arahan pengarah kontroversi Nasir Jani dan terbitan ZSA Holdings Sdn Bhd milik Zarul Al-Bakri dilabelkan sebagai filem pertama yang mengangkat budaya dan muzik rock tempatan pada waktu itu.

Nasir yang sempat penulis temui, baru-baru ini, berkongsi pengalamannya ketika mengarahkan filem yang tidak kurang hebat kontroversinya itu.

“Saya boleh anggap KSJ sebagai ‘bapa kemodenan’ filem Melayu. Ini kerana apa yang kami ketengahkan ketika itu sangat berbeza berbanding filem Melayu sebelumnya,” katanya.

Menurut Nasir, filem lakonan Datuk M Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Seri Shah Rezza, Pyanhabib, Imuda, dR Sam, Neeruam dan Majid Salleh itu juga adalah filem Melayu pertama mengetengahkan isu cetak rompak walaupun masalah itu sudah wujud sejak era Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“KSJ juga filem Melayu pertama yang disertakan dengan program The Making Of... dan juga yang pertama menampilkan babak konsert berskala besar. Ia juga menjadi titik tolak dalam ‘pop culture’ (budaya popular) ketika itu.

“Jika kita memperkatakan mengenai filem muzik rock di sini, KSJ ialah ‘ibu’nya,” katanya.

Sebagai peminat rock dan penggemar filem, KSJ antara filem Melayu terbaik, unik dan berbeza yang penulis pernah tonton.

Selain isu diketengahkan, cara pembikinan, pendekatan, lontaran dialog dan arahan seni filem ini cukup berbeza berbanding filem tempatan lain ketika itu.

KSJ juga boleh dilabelkan sebagai filem ‘rebel’. Mungkin kerana kebanyakan individu yang terbabit dengan filem ini ‘rebel’ terhadap pihak tertentu ketika itu yang kerap memandang serong terhadap muzik rock.

“KSJ sebenarnya sangat ‘raw’ atau mentah. Saya belasah saja asalkan mesej yang nak diketengahkan sampai. Dalam bidang filem, saya dididik supaya ketengahkan sesuatu isu dalam filem. Dalam KSJ memang ada banyak isu,” katanya.

Nasir berkata, selain mengetengahkan isu cetak rompak, KSJ adalah filem Melayu pertama menampilkan aktiviti ‘busking’.

“Dulu dalam filem tak ada ‘busking’. Orang yang buat aktiviti ‘busking’ pun tidak ada lagi ketika itu seperti sekarang,” katanya.

Ito Blues Gang beri idea ketengah isu cetak rompak

Bercerita mengenai pembikinan filem berkenaan, Nasir berkata, idea asal KSJ datang daripada M Nasir.

Menurutnya, pada hari pertama Ramadan pada 1983, M Nasir dan dR Sam datang ke rumahnya di Gombak, Selangor menyatakan hasrat menghasilkan filem itu.

“Ketika itu saya baru selesai penggambaran filem Matinya Seorang Patriot arahan Rahim Razali (Datuk) dan Mekanik arahan Othman Hafsham sebagai penolong pengarah dan pengarah seni.

“Saya tertarik dengan idea M Nasir dan memang berhasrat mengarahkan filem itu. Bagaimanapun, penggambaran yang sepatutnya bermula pada 1984 ditangguhkan apabila saya bersama Zarul dihantar oleh Finas ke London untuk mengikuti kursus filem jangka pendek,” katanya.

Nasir berkata, penggambaran hanya bermula pada awal 1985 dan mengambil masa kira-kira dua bulan.

Pada mulanya, KSJ hanyalah filem yang ringkas dan idea untuk mengetengahkan isu cetak rompak tidak timbul.

Bagaimanapun, apabila penyanyi Blues Gang, Ito Mohd berkunjung ke lokasi penggambaran, dia memberikan idea supaya mereka mengetengahkan isu cetak rompak.

Difahamkan, idea itu tercetus apabila Ito berang selepas album Blues Gang, Apo Nak Dikato menjadi mangsa cetak rompak.

Menurut Nasir, mereka bersetuju dengan idea Ito dan terus menukar temanya walaupun ketika itu penggambaran sudah dilakukan sebanyak 30 peratus.

“Kami juga beruntung kerana semua yang terbabit dalam filem itu ‘satu kepala’. Sebagai penerbit, Zarul juga tak cakap banyak apabila idea itu diberikan kepadanya.

“Semuanya dilakukan secara spontan asalkan jalan ceritanya tidak lari. Dialog membabitkan isu cetak rompak kami hasilkan secara spontan di lokasi penggambaran berdasarkan pengalaman masing-masing,” katanya.

Kontroversi berterusan

Sebaik ditayangkan, KSJ tidak sunyi daripada kontroversi.

Nasir berkata, selepas majlis tayangan perdana filem itu, dia diserbu wartawan yang tidak berpuas hati dengan babak wartawan ‘dirasuah’ syarikat rakaman.

Bukan itu saja, KSJ turut dipersoalkan apabila kos pembikinannya meningkat daripada RM100,000 kepada RM300,000 yang dikatakan cukup tinggi ketika itu.

Apa yang menarik, walaupun menampilkan isu agak sensitif serta dialog selamba dan kasar, tiada satu pun babak dalam KSJ dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Menurut Nasir, KSJ yang turut menyertai festival filem di London, Tokyo dan Filipina sepatutnya menjadi filem ‘box office’, tetapi gagal apabila ia disabotaj.

“LPF tak potong, tetapi pihak panggung wayang sendiri yang potong beberapa babak kononnya mendapat arahan daripada pihak tertentu,” katanya.

Katanya, dia dihubungi seorang rakan yang menonton filem berkenaan di Pulau Pinang mendakwa beberapa babak dalam filem itu dipotong.

“Saya ke Pulau Pinang dan memang betul pihak panggung wayang itu memotong beberapa babak dalam KSJ. Saya mengamuk di bilik projektor hingga keadaan menjadi kecoh. Perkara sama juga berlaku di beberapa panggung wayang di Alor Setar dan Kuantan,” katanya yang turut membuat laporan polis berikutan insiden itu.

Bukan itu saja, KSJ turut mencetuskan kontroversi di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-6 pada 1986.

Nasir berkata, ketika tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis itu, dia terkejut apabila ketua juri memaklumkan semua pencalonan untuk KSJ di FFM6 dibatalkan.

“Alasan mereka kerana M Nasir rakyat Singapura,” katanya.

Perkara itu juga mendorong Pyanhabib yang dipilih sebagai pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM6 menolak anugerah yang diterimanya.

Pyanhabib yang pada mulanya dicalonkan menerusi KSJ dikatakan tidak berpuas hati apabila pencalonannya ditukar kepada filem Tsu Feh Sofiah yang turut dilakonkannya.

“Saya datang ke FFM6 untuk filem KSJ, tetapi keputusan itu untuk filem Tsu Feh Sofiah. Saya agak kecewa kerana KSJ ‘ditolak’ dari pentas FFM6.

“Esoknya saya kena ‘bantai’ di surat khabar. Mereka kata saya sabotaj FFM6 dan tak hormat majlis,” kata Pyanhabib.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 11:19 AM