Poster yang tersebar di FB.
Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hemtro.com.my


Kuala Lumpur: Tambah nilai minimum RM30 untuk Touch 'n Go di lorong tambah nilai tol Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) berkuat kuasa 1 Mac ini adalah benar.

Pengurus Besar Operasi dan Penyelenggaraan SKVE, Zainal Alam Kamaruzzaman berkata, langkah berkenaan bertujuan untuk mengelak kesesakan lalu lintas di lorong tambah nilai disediakan.

“Keputusan ini juga dibuat bagi mendidik orang ramai menyediakan wang secukupnya ketika melalui plaza tol.

“Malah kesesakan di lorong berkenaan dapat dielakkan kerana pengguna tidak perlu beratur panjang untuk tambah nilai setiap hari,” katanya.

Mengulas lanjut menurutnya, nilai tambah pada kadar minimum RM30 hanya dilaksanakan di lorong tol SKVE.

“Bagaimanapun tambah nilai RM10 masih boleh dilakukan di kaunter jualan Touch 'n Go,” katanya.

Menurutnya, kaedah penambahan minimum RM30 ini bukan sahaja akan dilaksanakan SKVE, malah akan dipraktikkan di kebanyakan lebuh raya dalam tempoh terdekat.

“Namun pengumuman itu akan dibuat sendiri oleh pihak Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM),” katanya.

Terdahulu, poster berhubung kadar berkenaan tular di Facebook (FB) hingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna.

Kebanyakan pengguna merasakan kadar tambah nilai minima sebanyak RM30 agak tinggi dengan situasi ekonomi sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 10:36 PM