Ahmad Salim Bachok

Minggu lalu, selama tiga hari berturut-turut saya menghadiri seminar dan pameran hartanah yang diadakan di tempat saya bekerja iaitu di Balai Berita, Kuala Lumpur. Yang menariknya, saya turut ‘memaksa’ anak-anak dan isteri saya untuk mendengar ceramah berkenaan pada ketiga-tiga hari berkenaan, setiap hari dari pagi hingga ke petang.

Apa yang menarik mengenai pameran hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad iaitu syarikat tempat saya bekerja adalah ceramah dan forum mengenai hartanah terutamanya cara pemilikan kediaman yang berharga di bawah RM500,000.

Selama tiga hari itu, saya dan mereka yang menghadiri seminar percuma di dewan yang cantik dan dingin, tetapi selesa itu didedahkan dengan pelbagai tip, petua serta muslihat bagaimana untuk memilih dan memiliki hartanah sama ada untuk didiami atau dijadikan sebagai pelaburan.

Ceramah bukan saja berkisar mengenai cara bagaimana mahu memilih dan memiliki hartanah, tetapi turut merangkumi pelbagai subjek lain seperti bagaimana hendak membuat pinjaman, cara mengurangkan bayaran pinjaman dan cara mengelakkan bencana ketika berada di dalam rumah.

Selain itu, turut dibentangkan adalah aspek undang-undang dalam pembelian hartanah, terutamanya dalam pemilikan dan pengurusan hartanah berbentuk strata (terutamanya apartmen dan kondo). Ada juga petua bagaimana cara mencari dan memilih penyewa hartanah yang kita miliki.

Juga disentuh mengenai penggunaan teknologi terkini yang boleh memudahkan pemilik hartanah, selain satu ceramah menarik oleh seorang pereka bentuk dalaman yang memberi petua bagaimana menaikkan nilai hartanah kita menggunakan teknik hiasan dalaman yang bijak tanpa memerlukan perbelanjaan tinggi.

Pada sepanjang ‘perjalanan ilmu’ mengenai hartanah selama tiga hari itu, dua penceramah begitu menarik perhatian saya. Pertama Dr Daniele Gambero yang membentangkan topik bertajuk ‘Transformasi, Masa dan Permintaan: Menggunakan model propernomy ke atas pelaburan hartanah’. Propernomy adalah istilah hartanah yang menggabungkan dua perkataan iaitu hartanah (property) dan ekonomi (economy).

Bagi pelabur hartanah, kalau sebelum ini perkataan ‘Lokasi, Lokasi, Lokasi’ adalah mantra atau perkataan sakti yang sering digunakan dalam memilih hartanah, tetapi pakar hartanah warga Itali ini memperkenalkan pula tiga perkataan baru iaitu ‘Transformasi, Masa, Permintaan’ (Transformation, Timing, Demand) sebagai lebih ampuh dan efektif berbanding slogan yang pertama tadi.

Dr Daniele turut memberi banyak contoh, data dan fakta yang mempesonakan bagi menyokong pendapatnya itu. Lebih menarik, lelaki yang sudah berhijrah ke negara ini sejak awal 1990-an dan beristerikan wanita Malaysia itu sangat yakin dengan masa depan sektor hartanah di negara ini.

Beliau turut menganggap Malaysia antara negara terbaik di dunia dan sektor hartanah negara ini sememangnya menjanjikan pulangan pelaburan yang amat lumayan. Yang penting, katanya, kita perlu ada ilmu atau pengetahuan dan keberanian untuk menjadi pemain atau pelabur hartanah yang berjaya.

Seorang lagi penceramah yang berjaya memikat hati saya adalah Azizi Ali, penulis lebih 30 tajuk buku mengenai pengurusan kewangan dan kekayaan selain hartanah. Penulis dan penceramah super popular yang juga bekas juruterbang ini mempunyai cara dan gaya tersendiri dalam menyampaikan ceramahnya.

Cara penyampaian Azizi yang santai dan kelakar begitu mudah difahami kerana beliau banyak bercakap mengenai pengalamannya sendiri sebagai pakar kewangan dan pemilik hartanah. Malah, dia turut menyelitkan pengalamannya menguruskan anggota keluarganya terutama bagaimana dia berinteraksi dengan empat anak gadisnya, isteri, amah dan kucing peliharaannya!

Dalam ceramahnya pada petang Ahad lalu, Azizi menunjukkan cara mudah dan praktikal bagaimana mahu melunaskan pinjaman perumahan dalam masa singkat, sekali gus dapat mengelak membayar faedah pinjaman yang tinggi kepada bank yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit kepada peminjam. Teknik mengurangkan bayaran pinjaman perumahan yang dianjurkan Azizi sesungguhnya membuka mata mereka yang mengikuti ceramah berkenaan, terutama saya sendiri.

Sesungguhnya, pengalaman tiga hari menimba ilmu mengenai kewangan dan hartanah pada hujung minggu lalu membuka minda saya bahawa sumber kekayaan di dalam hartanah amatlah luas dan tidak sesukar yang dibayangkan untuk digali.

Yang penting kita perlu ada pengetahuan dan cukup keberanian untuk bertindak kerana di dalam hartanah, ‘usah tunggu untuk beli tetapi beli dan tunggu’. Maksudnya, setiap peluang yang muncul untuk memiliki hartanah, usah tunggu lama-lama. Dapatkannya dengan segera dan kita akan melihat sendiri di depan mata bagaimana nilai hartanah berkenaan akan meningkat pada setiap masa.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:04 AM