MENGHASILKAN tulisan tangan menggunakan pen celup.
KULIT hadapan buku agenda yang dijual menerusi dalam talian.
KULIT buku agenda menggunakan fabrik kulit.
NAMIZAM kreatif dalam menghasilkan buku agenda.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Seni itu indah dan hanya mereka yang meminati seni saja tahu menghargainya. Ungkapan ini mungkin benar atau mungkin juga tidak. Namun apabila melihat sendiri lakaran tulisan, paparan gambar, lukisan dan contengan yang diabadikan anak muda ini dalam setiap buku agenda miliknya membuatkan penulis mengangguk tanda memahami.

Ini kerana bukanlah sesuatu yang menjadi minat penulis untuk bersengkang mata atau boleh juga dikatakan ‘membuang masa’ berjam-jam lamanya menghasilkan tulisan tangan yang indah seninya jika ia bukan kesukaan kita.

Namun bagi Mohd Namizam Muda, mencantikkan buku agenda ini adalah seni jurnal yang mempunyai pengikut tersendiri. Malah di Malaysia ada kumpulan yang memperjuangkan seni jurnal dan mereka sering berkumpul bagi meluahkan idea dan pendapat mengenai seni jurnal terkini yang harus dipelajari dan diaplikasikan dalam buku agenda masing-masing.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Namizam berjinak-jinak dengan seni jurnal ini selepas melayari Internet dan melihat pelbagai jenis buku agenda dan diari buatan tangan yang dihasilkan di luar negara.

“Sejak itu saya mula menghasilkan kulit hadapan buku agenda menggunakan fabrik kulit dan dijual menerusi dalam talian. Tidak sangka ramai yang berminat terutama daripada kalangan wanita yang mengumpul dan menyimpan buku agenda untuk dijadikan koleksi,” katanya.

Menariknya, ia seakan-akan satu seni apabila isi kandungan buku agenda bukan sekadar mencatatkan aktiviti harian tetapi juga gambar, resit, tiket menonton filem dan apa saja yang dikira penting untuk dijadikan kenangan. Biasanya setiap satu ditampal kemas dalam muka surat tertentu dengan disertakan tulisan menggunakan pen celup.

Ujar Namizam, dia tertarik untuk mempelajari tulisan menggunakan pen celup selepas melihat beberapa buku agenda di luar negara dengan tertera tulisan ini. Ia bukan saja menjadikan setiap muka surat nampak berwarna-warni tetapi memberikan kepuasan tersendiri kepada pemiliknya.

“Bagi yang tidak biasa menggunakan pen celup ini, ia mengambil masa bagi menghasilkan tulisan tebal dan nipis. Ada teknik tertentu untuk menggunakannya dan ia hanya memerlukan latihan,” katanya yang membeli pen celup menerusi dalam talian.

Merujuk kepada isi kandungan buku agenda pula, sebenarnya setiap catatan halaman terpulang kepada pemilik buku mengenai cara mewarnainya. Ada yang suka memperbanyakkan tulisan manakala ada pula lebih kepada gambar dan tampalan label tertentu. Walau apa juga yang dilakukan, setiap orang ada cara tersendiri mencantikkannya. Menggunakan moto ‘buku kita cara kita’, terpulang kepada individu bagaimana mewarnainya kerana tiada salah atau betulnya.

“Ia sekadar memenuhi kepuasan diri, manakala ada juga mengandaikan penulisan satu cara mengurangkan tekanan selepas penat bekerja. Ini terutama apabila setiap hari ada pelbagai catatan yang perlu dimasukkan sehingga menjadikan setiap helaian penuh beremosi terutama rasa marah terhadap rakan sekerja, perkara yang memalukan, rasa cinta yang dirahsiakan, semuanya bagaikan catatan peribadi.

“Bagi yang gemar mengembara, ia menjadikan buku agenda mereka lebih versatil dan ‘meriah’ kerana banyak aktiviti yang boleh dimasukkan. Membelek kembali buku agenda yang penuh terisi turut memberikan kepuasan tersendiri kerana ia dapat mengenang kembali kenangan bersama tersayang,” katanya.

Namizam yang memiliki lebih 10 buku agenda mengakui, menghasilkan kerja tangan ialah bakat semula jadi yang dianugerahkan Allah kepadanya. Turut berbakat dalam seni menggulung kertas atau quilling, dia turut menerima tempahan pelanggan bagi menghasilkan kad kahwin atau kad hari jadi menggunakan gulungan kertas. Biasanya, idea diperoleh daripada pelanggan kemudian Namizam cuba menghasilkan mengikut kombinasi warna kertas yang dibentuk menjadi bunga.

Komuniti buku agenda

Mempunyai komuniti yang meminati perkara sama, ujar Namizam, komuniti atau kumpulan peminat buku agenda ini bukanlah dibentuk secara rasmi. Tetapi sekadar ingin bersua muka mengenali antara satu sama lain dan berkongsi cerita terkini mengenai buku agenda milik mereka.

“Kumpulan peminat ini terdiri daripada wanita kerana mereka lebih kreatif dan mempunyai banyak koleksi buku. Jika ada kelapangan saya turut serta sekadar ingin merapatkan hubungan silaturahim,” kata Namizam yang menggunakan Instagram @zam_dori untuk berhubung dengan pelanggan yang berminat dengan hasil kraftangan miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:27 AM