ALIAA Ismail.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Wajahnya antara yang terlaris dan sering dipilih bagi menggayakan padanan terkini sama ada busana mahupun selendang terutama untuk butik dalam talian. Tidak hairan pada awal kemunculannya dia terpaksa memenuhi undangan penggambaran bermula sejak awal pagi sehingga ke malam.

Bagi pemilik nama Aliaa Ismail, 23, bergelar model bukanlah impian atau cita-cita namun semuanya bermula selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka dalam jurusan seni halus.

Oleh kerana sukar mendapatkan pekerjaan, dia bekerja sambilan di butik Muslimah sebagai jurujual. Melihatkan penampilan serta memenuhi ciri sebagai model, Aliaa dilamar pemilik butik bagi menggayakan rekaan terkini jubah dan selendang.

“Pada mulanya saya berasa agak kekok untuk beraksi di hadapan kamera. Namun jurugambar banyak membantu memberikan tunjuk ajar untuk memberikan aksi menarik. Akhirnya sesi itu berjalan dengan lancar. Selepas beberapa hari gambar dimuat naik menerusi Facebook dan Instagram, ia mendapat ‘like’ yang banyak. Bermula dari situ, saya menerima banyak tawaran menjadi model untuk butik dalam talian,” katanya memulakan bicara.

Hanya sempat bergelar jurujual selama dua bulan, memenuhi permintaan yang tinggi sebagai model menyebabkan dia terpaksa melepaskan jawatan berkenaan untuk menjadi model sepenuh masa.

Anak ketiga daripada empat beradik yang bakal melangsungkan perkahwinan akhir bulan ini, mengakui akan meneruskan kerjaya peragaan selepas bergelar isteri.

Baginya, kerjaya ini sudah sebati dengan dirinya. Ikuti temu bual dengan Aliaa

M: Tidak pernah bergelar model sebelum ini, bagaimana anda membiasakan diri beraksi di hadapan kamera?

Aliaa: Sebelum bergelar model saya memang suka melihat aksi model di majalah dan juga menerusi televisyen. Apabila diberikan peluang, mungkin bakat semula jadi sudah ada dalam diri lantas saya tidak menghadapi banyak masalah.

Ia datang secara spontan dan saya tahu lenggok tubuh, kedudukan badan dan kaki bagi menggayakan pakaian berbeza. Rujukan saya ialah YouTube dan selebihnya idea sendiri.

M: Bergelar model Muslimah, apa yang Aliaa pentingkan ketika penggambaran?

Aliaa: Saya sangat teliti ketika memilih pakaian. Ini kerana menjadi model Muslimah ada kriteria yang perlu dipenuhi pemilik butik agar kedua-dua pihak mendapat hasilnya.

Biasanya saya pastikan jenis rekaan busana sama ada jubah, gaun atau blaus. Pakaian mestilah tidak ketat dan tidak jarang. Biasanya saya membawa alas baju, anak tudung dan sarung kaki sendiri supaya memudahkan urusan penggambaran.

M: Melihat kepada penampilan, adakah sejak kecil Aliaa memang suka bergaya?

Aliaa: Sebenarnya penampilan saya sekarang jauh berbeza berbanding dulu. Dulu saya gemar memakai kemeja-T milik abang saya. Bersolek jauh sekali, adakalanya memang nampak selekeh. Namun selepas menceburi bidang ini, 100 peratus penampilan saya berubah. Aliaa yang sekarang bukanlah Aliaa dulu.

M: Siapakah idola dalam peragaan?

Aliaa: Miranda Kerr. Tetapi saya ubah ke arah lebih Muslimah. Saya sukakan gayanya yang manja dan keanak-anakan namun sesekali dia beraksi matang dan bersahaja.

M: Bagaimana anda mengatur jadual setiap hari?

Aliaa: Sejak awal kemunculan, Instagram dan Facebook sangat membantu menaikkan kerjaya sebagai model Muslimah. Ramai pemilik butik inginkan saya memperagakan pakaian mereka menyebabkan saya tidak menang tangan. Setiap hari jadual harian penuh bermula awal pagi sehingga ke malam.

Apatah lagi menjelang Syawal, banyak sesi undangan perlu diselesaikan segera. Lama-kelamaan apabila semakin matang dan berpengalaman, saya mula memilih penggambaran yang memerlukan saya bekerja pada waktu siang saja. Untuk itu saya mengambil satu atau dua penggambaran saja sehari. Hasilnya lebih berkualiti dan saya dapat berehat daripada jadual harian yang padat.

Bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, saya juga mengadakan penggambaran di Jepun untuk gambar portfolio. Ternyata hasilnya sangat mengujakan saya dan pasukan terbabit. Kami menjengah ke sana ketika musim bunga, sudah tentu latar belakang sangat cantik dan mendamaikan.

Pada masa sama, saya juga mengumpul beberapa jenama pakaian yang sudah biasa bekerjasama, menerusinya saya membantu memperagakan pakaian mereka di sana untuk mendapatkan penghasilan gambar yang menarik dan hebat.

Ini salah satu daripada idea jurugambar dan kami terbabit selama beberapa hari tetapi ia sangat menyeronokkan dan saya berangan-angan ingin mengadakan penggambaran di negara lain pula.

M: Langsing, cantik dan bergaya, bagaimana anda menjaga kecantikan?

Aliaa: Saya tiada rejim penjagaan wajah yang ketat. Amalan saya minum air masak secukupnya. Lebih banyak lebih baik. Saya juga tidak mengamalkan diet dan makan apa saja selain mengambil makanan tambahan untuk kekal cergas dan sihat.

Saya juga tidak bersolek ketika keluar, hanya mengenakan alas bedak. Ketika menghadiri acara barulah saya bersolek dan memakai pakaian sesuai.

M: Daripada siapakah Aliaa memperoleh dorongan?

Aliaa: Pada awal kemunculan ibu bapa tidak yakin dengan kerjaya sepenuh masa sebagai model. Namun apabila melihat saya bersungguh-sungguh akhirnya mereka memberikan sokongan.

Dengan wang daripada hasil memperagakan pakaian inilah saya dapat membeli barang keperluan sendiri dan menggunakannya untuk urusan perkahwinan.

Bagi saya, menjadi model sepenuh masa walaupun tidak mendapat pendapatan tetap setiap bulan sekiranya rajin membuat promosi dan berdisiplin, hasilnya tetap lumayan. Apa yang penting, bijak menguruskan kewangan dan membuat simpanan.

Ini kerana kerjaya ini tidak menjanjikan pulangan sepanjang masa. Ada masa naik dan turun. Tambahan pula ramai model baru yang lebih cantik dan berkeyakinan muncul untuk menceburi kerjaya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 11:31 AM