Dr Rais Yatim
BERNAMA

Shah Alam: Negara Islam di Asia Tenggara disaran menjadi penggerak kepada sistem perbankan dan kewangan berlandaskan syariah bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi serantau dan dunia Islam secara keseluruhan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa, Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE) Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kegemilangan ekonomi Islam satu masa dulu perlu dihidupkan semula menerusi kerjasama antara negara Islam di rantau ini.

Mengambil contoh kekukuhan ekonomi China hasil pembentukan corak kewangan tersendiri, beliau berkata, negara Islam Asia Tenggara perlu memulakan sistem perbankan dan kewangan berlandaskan syariah tanpa perlu menunggu pembuka langkah daripada badan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Saya berpendapat Malaysia-Indonesia-Brunei- Selatan Thailand misalnya, dapat mengambil inisiatif dan langkah pertama sekarang untuk wujudkan kepemimpinan yang tegas, efisien dan berilmu dalam perbankan dan kewangan Islam,” katanya.

Terdahulu, Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melancarkan dua buku bertajuk, The Islamic Currency ditulis oleh Dr Adam Abdullah dan Islamic Leadership Today karya Dr Rodrigue Fontaine, Prof Dr Khaliq Ahmad Mohd Israil dan Dr Gapuroziev selepas menyampaikan ucapan pada mesyuarat agung tahunan ketiga ICIFE dan forum pendidikan kewangan Islam antarabangsa di sini, kelmarin.

Menurutnya, apabila kedudukan perbankan dan kewangan Islam antara negara Asia Tenggara kukuh, ia akan meningkatkan keinginan negara Timur Tengah untuk menambah baik sistem berkenaan dalam skala lebih besar.

Beliau seterusnya menyarankan supaya sistem kewangan Islam berasaskan penggunaan emas dan perak diperjelaskan dan aspek praktikalnya diteliti.

Katanya, badan akademik atau industri berkaitan kewangan Islam perlu bekerjasama mewujudkan silibus pengajian mengenai aspek itu secara lebih khusus bagi mencorak ekonomi Islam pada masa depan.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 7:06 AM