ZARINA menyusun ayam dijualnya di Pasar Besar SIti Khadijah, Kota Bharu.
myMetro

Kota Bharu: Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga susulan penularan jangkitan selesema burung atau virus Avian Influenza (H5N1) terhadap ayam di negeri ini sejak dua minggu lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati peniaga ayam di sekitar negeri ini menjalankan perniagaan menjual ayam seperti biasa dan dalam masa sama berhati-hati dengan jangkitan H5N1.

Peniaga, Zarina Abdullah, 48, berkata, berita mengenai penularan wabak H5N1 di Kampung Pulau Tebu, Tunjong sudah pasti membimbangkannya dan peniaga di sekitarnya kerana ia memberi kesan kepada jualan mereka.

“Bagaimanapun saya yakin dengan usaha dilakukan pihak berkenaan untuk menangani wabak ini daripada terus merebak.

“Sehingga hari ini, pembekal yang membekalkan ayam untuk dijual memberi jaminan semua ayam dihantarnya baik dan bebas daripada wabak itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, misteri kematian 15 ayam kampung di Kampung Pulau Tebu, Tunjong terjawab apabila disahkan positif wabak H5N1.

Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah untuk mengawal wabak itu daripada merebak termasuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan Negeri Kelantan bagi mengendalikan kes wabak H5N1 bermula kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 8:59 AM