ANTARA hasil tanaman di kebun organik.
SUKARELAWAN Maybank bergotong-royong membersihkan kawasan kebun organik.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Flat Colombia di Taman Keramat AU2, Kuala Lumpur, yang terletak 10 kilometer (km) dari pusat bandar bukan kawasan kediaman biasa apabila di dalamnya terkandung ‘harta alam’ iaitu taman organik seluas 0.30 hektar yang diusahakan oleh penduduknya.

Tidak ubah seperti sebuah kampung, taman organik itu menjadi sumber yang menanam semangat kampung dalam kalangan penduduk setempat.

Ketua Jawatankuasa Kediaman yang dikenali sebagai Halim berkata, kebun kecil itu menempatkan ratusan jenis sayur-sayuran, buah-buahan dan pokok herba.

“Semua tanaman yang ditanam di sini adalah untuk kegunaan penduduk setempat.

“Mereka boleh datang pada bila-bila masa dan ambil apa saja hasil tanaman yang mereka perlukan untuk kegunaan harian.

“Jika ada kenduri pula misalnya, kami akan merebus ubi kayu dan buah roselle pula digunakan untuk membuat air seperti Ribena,” katanya.

Diketuai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), projek berkenaan adalah sebahagian daripada River of Life Public Outreach Programme (ROL-POP), satu komponen projek River of Life (ROL) yang dibangun untuk menghubungkan masyarakat setempat dengan sungai selain memperkasakan projek lestari.

ROL adalah projek permulaan (EPP) kelima di bawah Greater KL dan Lembah Klang, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menjadi teras Program Transformasi Nasional (NTP).

Ia juga antara usaha kerajaan mentransformasi landskap Kuala Lumpur menjadi bandar raya yang berdaya huni tinggi dan penduduknya mempunyai kualiti hidup tinggi.

Di bawah Projek ROL, Sungai Gombak dan Sungai Klang akan dibersihkan serta diberi nafas baru sebagai Pusat Warisan dan Komersial bagi Greater KL yang bakal menjadi tarikan pelancong, pusat rekreasi dan membawa manfaat serta peningkatan pendapatan kepada penduduk.

Menurut Global Environmental Center (GEC) iaitu satu daripada perunding projek berkenaan, pihaknya amat mempercayai kebaikan pembabitan orang awam sejak dari awal projek ROL itu dilaksanakan.

Penyelarasnya, Dr Kalithasen berkata, program besar yang meliputi infrastruktur itu perlu dilengkapkan dengan sesuatu yang lain di mana ia boleh digelar sebagai satu pendekatan jiwa.

“Hanya melalui cara itu masyarakat boleh melihat bahawa mereka juga sebahagian daripada kita” katanya.

Kebun organik itu adalah contoh terbaik kejayaan menerusi inisiatif yang menyatukan pelbagai pihak untuk mencapai matlamat bersama termasuk pembabitan pihak berkuasa tempatan yang turut menyumbangkan dana dan baja.

“Usaha yang dilakukan penduduk tempatan amat menakjubkan. Sebelum ini, mereka menggunakan air bersih untuk menyiram tanaman dan selepas melalui perbincangan bersama, kami berikan mereka penapis air dan pam untuk tujuan itu.

“Kini, kebun itu disuburkan dengan air tertapis terus dari Sungai Klang,” katanya.

Projek berkenaan juga mendapat sokongan daripada pasukan sukarelawan Maybank yang membantu menyediakan dana untuk pengekalan program serta mengadakan program membabitkan masyarakat.

Ketua Pegawai Risiko Kumpulan Maybank, Dr John Lee berkata, kerjasama itu membantu masyarakat dalam memastikan kawasan kebun ini bersih dan mereka dapat menikmati faedah daripadanya.

“Mereka juga dilatih untuk tidak menggunakan racun perosak atau baja kimia yang boleh memberi kesan kepada kualiti air sungai,” katanya.

Semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat juga dapat dilihat dengan kewujudan kebun organik terutama sekali apabila adanya jamuan atau majlis keraian.

Selain mereka dapat menjamu selera daripada hasil tanaman kebun organik itu seperti pisang tanduk, air tebu, buah-buahan tempatan dan sebagainya, suasana ceria ketika bergaul bersama adalah saat paling manis yang boleh diabadikan dalam ingatan.

Pasangan bahagia, Aris dan isterinya, Norrizam adalah antara penduduk yang mengusahakan kebun organik itu.

Jika kebetulan terdapat pengunjung dan mereka ada di kebun itu, buah tangan seperti roselle atau kacang panjang pasti akan diberikan untuk dikongsi bersama.

Menurut Halim, semangat kampung seperti itu yang hendak diwujudkan kembali dalam kalangan muda-mudi zaman ini.

“Orang seperti saya yang membesar dan banyak menghabiskan masa di kebun tahu menghargai bahan segar kerana kita tahu dari mana ia datang.

“Bak pepatah orang dulu, biar miskin harta, asal kaya budi bahasa,” katanya yang turut mempertimbangkan untuk menanam padi di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 9:44 AM