LIOW (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai penggunaan topi keledar yang selamat pada Mesyuarat Agong Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Ke-58 di Alor Setar.

Alor Setar: Semua lori kecil (d-controlled) di negara ini dijangka mengalami perubahan had berat dengan muatan (BDM) daripada lima tan kepada 7.5 tan berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu bakal menyumbang kepada pengurangan kos pengangkutan sehingga tujuh peratus seiring dengan usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos barangan bagi pengguna.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya bersama agensi bertanggungjawab meneliti perkembangan teknologi membabitkan kenderaan perdagangan daripada aspek keselamatan, pembinaan struktur dan kuasa enjin.

“Spesifikasi kadar had berat kenderaan lori kecil juga dinaikkan berdasarkan perbincangan antara pihak Kementerian Pengangkutan melalui Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dengan syarat dan ketetapan teknikal yang akan diselaraskan nanti.

“Kenaikan kadar baru BDM ini membolehkan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana, khususnya di kawasan luar bandar memaksimumkan beban barangan yang layak dibawa kepada 3.9 tan berbanding sebelum ini 1.4 tan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Agong Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Ke-58, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Liow berkata, kerajaan bersetuju had muatan kenderaan perdagangan dua gandar, tiga gandar (rigid/tegar) dan tiga gandar (articulated/bersendi) masing-masing dinaikkan satu tan kepada 19, 27 dan 31 tan.

Beliau berkata, bagi kenderaan empat gandar, had muatan dinaikkan dua tan kepada 39 tan, lima gandar dinaikkan lima tan kepada 45 tan dan enam gandar dinaikkan enam tan kepada 50 tan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 5:19 AM