JINS Shamsuddin.
Adam Salleh

Sebaik dikait minggu lalu bagaimana penulis boleh naik kereta bersama Jins Shamsuddin, ada yang beria-ria mahu tahu. Sebabnya, bukan semua orang boleh setuju angin dengan tokoh perfileman itu. Usahkan wartawan, seniman veteran Haji Arshad dalam satu majlis di Kuala Lumpur menyapa Jins dengan selamba “James Bond Malaya” itu menjawab dia tidak kenal!

Kecil hatilah Haji Arshad diperlaku begitu, namun barangkali Jins tidak ‘perasan’ sebabnya Haji Arshad adalah residen artis Cathay Keris Filem, Jins pula dari Malay Film Production (MFP). Di sisi lain, kepala angin Jins yang unik dan klasik itu memang kawannya tidak ramai. Mungkin juga rakan artis dan wartawan tidak ‘hingin’ berkawan dengannya kerana karakter beliau itu.

Hal ini mengingatkan penulis ketika kali pertama menumpang kereta Jins Shamsuddin dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut ke Kampung Klang Gate Baru pada Disember 1984. Bila mengenangkan insiden itu agak lucu juga, tetapi berbangga juga sebab dalam usia remaja begitu penulis berani meminta Jins Shamsuddin hantar pulang ke rumah.

Penulis ke Auditorium DBKL kerana menghadiri Festival Filem Malaysia Ke-4 (FFM4). Ini semua gara-gara ayahanda penulis, Salleh Ghani (Allahyarham) tidak mahu hadir ke festival itu sebaliknya beliau minta penulis mewakilinya. Pelik juga perangai ayahanda penulis, sebabnya ada filem arahan beliau, Pertentangan turut bertanding, sepatutnya hadirlah majlis anugerah itu.

Nak dikira beliau antisosial tidak juga sebab ayahanda penulis pernah hadir di Festival Filem Asia Pasifik, itu pun kerana beliau tersenarai antara tokoh filem dikehendaki menyampaikan hadiah salah satu kategori. Kebetulan di FFM4, abang sulung penulis, Zulkifli Salleh (Allahyarham) bertanding bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik untuk filem Mekanik arahan Hafsham.

Ayahanda penulis berpesan, sebaik majlis anugerah selesai cari abang untuk balik bersama-sama ke rumah. Entah apa malang, abang penulis lesap entah ke mana. Barangkali beliau bersama Peter Lim (mendiang) diraikan kerana malam itu mereka meraih anugerah Penataan Bunyi Terbaik FFM4. ‘Menggelabah itik’ penulis bagaimana mahu pulang ke rumah, jam 12 tengah malam.

Yang terlintas di fikiran tidur saja di DBKL, pagi esok ambil bas Len Seng terus balik rumah. Tidak semena-mena teringatkan Jins Shamsuddin kerana beliau tinggal di Hulu Klang, tidak jauh dari Kampung Klang Gate Baru. Takdirnya, Jins Shamsudin pula keluar lewat dan sebalik melihat kelibat beliau, apalagi penulis tanpa berlengah terus mengekorinya seperti anak kejar ayah.

Langkah Jins Shamsuddin menuju ke ‘parking,’ penulis pun terus berteriak, “uncle, uncle !” Beliau berpaling, lalu penulis pun cakap mahu tumpang pulang ke rumah di Kampung Klang Gate. Di dalam kenderaan, Jins bertanya datang ke FFM4 dengan siapa, lalu penulis jawab bersama abang. Mendengar nama itu, Jins faham kerana beliau dan abang penulis bekerja di Perfima.

Sesekali di dalam kenderaan, penulis perhatikan Jins Shamsuddin, kami bercakap sepatah-sepatah. Lagipun tidak pulang modal bercakap dengan budak mentah seperti penulis. Yang penulis ingat, penulis bertanya pada Jins Shamsuddin, “uncle memang jarang bercakap ker?” Dijawab Jins, “ya, saya kurang bercakap.” Tiba di rumah penulis, Jins kata,” nanti kirim salam pada bapak.”

Sepanjang perjalanan setengah jam itu, Jins Shamsudin tidak bertanya pun mengapa ayahanda penulis tidak menghadiri FFM4? Jika setengah orang mesti ‘kepoh’ mahu tahu itu dan ini. Sememangnya sifat Jins Shamsuddin, beliau tidak mahu tahu hal peribadi orang. Ini jelas ketika mengusahakan Studio Pancha Delima, lazimnya warga filem ini bersantai, duduk berkumpul, berborak-borak dan berkongsi idea. Berdekatan studio itu ada gerai, tetapi sukar untuk melihat Jins Shamsuddin duduk di gerai itu. Setiap jam 6 petang, beliau terus pulang ke rumah.

Rata-rata produser filem yang menyewa di banggunan studio milik Jins Shamsuddin itu, cukup faham karakternya. Menyampah ada, lucu pun ada. Pernah ada pihak menampal poster seorang penyanyi di studio itu, Jins Shamsuddin tanggalkan poster itu dan berkata, “studio ini, studio filem bukan studio rakaman.” Nak buat bagaimana, studio itu milik beliau.

Bertambah lucu, ada kelompok warga filem ini begitu asyik bermain terup (judi), Jins Shamsuddin pula selamba menyapu sampah di sekeliling mereka. Beliau tidak menegur pun, tetapi ‘malu alah’ warga filem itu semua melihat kelibat Jins Shamsuddin di situ. Sifat berterus terang Jins Shamsuddin ada kala lucu juga, bagaimana awal 80-an ada promosi FFM di Pulau Pinang.

Pihak FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) menyalurkan peruntukan kepada Jins Shamsuddin untuk makan dan minum wartawan. Tiba hari ketiga, Jins Shamsuddin berkata kepada wartawan, sambil mengeluarkan dompetnya menunjukkan wang perbelanjaan disediakan FINAS tinggal banyak ini (susut). Maknanya pandai-pandailah makan atau minum bayar sendiri.

Ikutkan sekiranya Jins Shamsuddin mengeluar wang sakunya, kelak beliau boleh tuntut pada FINAS, tetapi beliau berterus terang bajet tidak cukup. Sekalipun ramai wartawan berlaga angin dengan beliau, tetapi ada petua diberi wartawan yang boleh kita manfaatkan bersama. Ketika di Pulau Pinang itulah, ada wartawan mahu membeli durian tetapi risau kenderaan berbau durian, tetapi Jins Shamsuddin memberi petua bagi menghilangkan bau durian di dalam kenderaan, letak arang dalam kereta bagi hilangkan baunya.

Di kalangan wartawan, hanya Aimi Jarr (Allahyarham) boleh ‘menjinakkan’ Jins Shamsuddin. Penulis beruntung ketika bekerja di majalah hiburan, Pesta dari 1989-1991, Aimi Jarr pula Penolong Pengarang Kumpulan. Apa saja tugasan wawancara Jins Shamsuddin, Aimi Jarr yang akan turun padang, penyudahkan banyak majalah hiburan lain seperti URTV, Media Hiburan dan Variapop gigit jari apabila terpandangkan gambar eksklusif Jins Shamsuddin beraksi ala bertinju dengan anaknya, Putera Hang Jebat sempena fotografi Aidilfitri tersiar di majalah Pesta.

Ada kala penulis terfikir ilmu apa diguna Aimi Jarr hinggakan Jins Shamsuddin tunduk padanya. Ini terbukti awal 90-an, Aimi Jarr bersama isteri, Noriah Ishak dan anak-anak mereka, Norimy Aimi, Norlizda Aimi dan Romy Jarr bercuti sebulan di Amerika Syarikat. Keluarga Aimi Jarr pula bela beberapa ekor kucing, timbul masalah hal makanan kucing-kucing itu.

Bila diajukan pada Jins Shamsuddin, dengan murah hati Jins Shamsuddin sanggup memberi makan kucing-kucing itu setiap pagi. Bayangkan dari kediaman beliau di Hulu Klang, Jins Shamsuddin memandu ke rumah Aimi Jarr saban pagi memberi kucing-kucing itu makan agar tidak mati kelaparan, walhal Jins Shamsuddin sendiri tidak membela kucing di rumahnya.

Kelibat Jins Shamsuddin itu disedari jiran tetangga Aimi Jarr terutama India dan Cina hingga ada yang mengadu ternampak pelakon memberi kucing makan setiap pagi. Begitulah Jins Shamsuddin, di sebalik karakternya yang serius, tegas dan anginnya sukar diramal jauh di sudut hati terselit jiwa penyayang pada makhluk Tuhan.

Natijahnya, dibandingkan Jins Shamsuddin dengan Tan Sri P Ramlee, jelas Jins Shamsuddin jauh beruntung kerana pelbagai anugerah tertinggi seperti Seniman Negara, menjadi Senator, Pengerusi FINAS dinikmati ketika hayatnya di kandung badan. Tidak ternilai jasa beliau di persada seni tanah air. Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin (5 Nov 1935-1 Mac 2017).

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 5:43 AM