PEJABAT masa depan seharusnya lebih memberi inspirasi, mengujakan dan persekitaran selamat.
TEMPAT duduk mesyuarat berdasarkan teknologi baru.
PC masih relevan.
PERANTI fizikal dan maya kini disepadukan.
PERUBAHAN PC ketara.
VINAY memberi penerangan mengenai pejabat masa depan.
HP EliteBook x360
HP Pro x2 612 G2
HP Z2 Mini Workstation
HP mt43 Mobile Thin Client
EliteOne 800 G3 All-in-One
HP Elite x3 Mobile Scanning Solution
HP Elite Slice
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Anda sudah biasa dengan senario pejabat biasa, masuk kerja dan buka PC kemudian mula menaip menggunakan Microsoft Office, membalas e-mel atau membuat carian berkaitan kerja di Internet.

Berbeza 10 tahun lalu, cara kerja berubah seiring teknologi dan kini hampir setiap dua tahun perubahan berlaku dalam operasi pejabat.

Itulah yang ditampilkan HP yang menganjurkan seminar berkaitan ‘Pejabat Masa Depan’, di Singapura, baru-baru ini.

Pejabat masa depan seharusnya lebih memberi inspirasi, mengujakan dan persekitaran selamat yang memperkasakan pekerja dengan menawarkan keupayaan teknologi untuk lebih produktif dan kreatif.

Ciri terbabit bukan bergantung kepada gajet fizikal semata-mata namun ia perlu memberikan kebebasan kepada pekerja untuk bekerja dengan fleksibel, mobiliti dan selamat di mana saja mereka berada.

Hari ini, lebih 70 peratus pekerja di Asia bekerja bukan setakat duduk di pejabat tetapi bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Angka terbabit dijangka meningkat dengan golongan milenial dan generasi Z yang memasuki alam pekerjaan serta menjadi majoriti pekerja menjelang 2020.

Sudah pasti, golongan ini akan mengharapkan lebih daripada sekadar gajet yang membuatkan pengalaman bekerja lebih baik.

Kajian agensi penyelidik, CBRE Research menunjukkan lebih 60 peratus golongan milenial mahukan tempat kerja yang fleksibel dan mobiliti sebagai faktor utama bekerja.

Naib Presiden Perkomputeran Komersial, HP Asia Pasifik & Jepun Vinay Awasthi, berkata majikan kini perlu mengadaptasikan teknologi moden untuk menarik golongan muda bekerja dengan syarikat terbabit.

“Teknologi menjadi pembolehubah utama dalam menjadikan persekitaran pintar dan selamat,” katanya.

HP memperketatkan ciri keselamatan dalam PC yang bersesuaian dengan cabaran masa depan kepada pengguna biasa dan perniagaan mereka.

“Berdasarkan ciri baru yang kami perkenalkan ini, kita akan jarang mengadu kepada bahagian teknologi maklumat (IT) mengenai masalah teknikal kerana semuanya boleh dibantu rakan sekerja atau dilakukan secara maya,” kata Vinay.

Beliau memaklumkan, dalam persekitaran kerja hari ini, perkara biasa yang sering berlaku termasuk lupa kata laluan dan memerlukan pihak yang bertanggungjawab menukar kepada kata laluan baru.

“Dalam organisasi, kita akan melaporkan ke bahagian IT sekiranya berlaku masalah ini dan ia memakan masa sekiranya mereka sibuk sehingga menyebabkan proses kerja tergendala.

“Namun dengan dengan sistem HP, masalah seperti penetapan kata laluan baru ini boleh dilakukan dengan pantas tanpa campur tangan pihak IT,” katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai pekerja moden yang bukan menggunakan satu platform tetapi pelbagai ketika melakukan kerja mereka.

“Sekarang pekerja bekerja dengan peranti yang bukan saja beroperasi pada Windows tetapi apabila pekerja menggunakan telefon pintar mereka, sistem operasi (OS) atau sebagainya ia membabitkan pelbagai platform dan kami boleh menanganinya,” kata Vinay.

Vinay turut memberitahu, PC yang sudah melebih empat tahun biasanya mudah terdedah kepada bahaya godaman kerana ia sudah lapuk dan memudahkan virus untuk menular.

“Sebab itu, kami turut memperkenalkan ciri keselamatan yang membolehkannya relevan bukan saja bagi PC tetapi peranti pejabat lain seperti pencetak dan pengimbas,” katanya.

Dalam seminar terbabit, HP turut membuat demonstrasi yang menunjukkan mudahnya individu memperoleh maklumat rahsia pejabat hanya dengan menggodam pencetak.

Internet untuk segalanya juga akan menentukan pejabat masa depan dengan komputer itu sendiri misalnya mampu menutup suis pejabat dari jauh.

“Anda boleh bayangkan perubahan teknologi pada masa depan dalam sektor pendidikan juga akan memperlihatkan pelajar tak kisah belajar mengenai menulis dengan tulisan tangan yang cantik tapi mungkin menggunakan papan kekunci,” katanya.

Selaras dengan pemasangan banyak inovasi baru dalam produk HP, syarikat terbabit bagaimanapun tidak akan menaikkan harga produk mereka sesuka hati.

“HP tidak akan menaikkan harga produknya meskipun pelbagai ciri baru dimasukkan dalam produk mereka tapi kami akan menawarkan harga berdasarkan kos yang efisien,” kata Vinay.

Seminar terbabit juga menyaksikan HP memperkenalkan produk baru. Antaranya:

1. HP EliteBook x360

Laptop boleh pusing ternipis di dunia yang mempunyai bateri mampu beroperasi hingga 16 jam 30 minit selain dilengkapi inovasi keselamatan HP Sure Start Gen3 iaitu BIOS pulih sendiri dengan perlindungan ‘run-time’ memori.

2. HP Pro x2 612 G2

Laptop dengan monitor boleh cabut 2-dalam-1 yang sesuai dengan pekerja sektor perkhidmatan, kerajaan, kesihatan dan peruncitan dengan bateri sehingga 11 jam. Peranti selamat terbabit datangf dengan pembaca kad serta slot SSD boleh tukar.

3. HP Z2 Mini Workstation

Stesen kerja mini pertama di dunia yang menawarkan kuasa gred pelayan dalam saiz kompak 2.3 inci iaitu 90 peratus lebih kecil berbanding CPU biasa berbentuk menara.

4. HP mt43 Mobile Thin Client

Komputer ‘thin client’ paling ringan dan nipis HP dengan kemudahan menjadikannya platform perkomputeran cloud lebih mudah, mudah urus dan pasang perisian yang membolehkan perkongsian data dalam kalangan pekerja.

5. EliteOne 800 G3 All-in-One

Peranti AIO komersial pertama dengan dwikamera dan skrin tanpa pantulan cahaya sesuai untuk diletakkan di kaunter depan pejabat.

6. HP Elite x3 Mobile Scanning Solution

Disesuaikan dengan HP Elite x3, ia boleh dipasang dan beroperasi sebagai peranti kedua untuk inventori. Ia mengandungi fungsi pengimbas kod bar.

7. HP Elite Slice

Rekaan modular yang sesuai untuk interaktif ketika mesyuarat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 11:16 AM