PESERTA membuat persiapan sebelum memulakan penerbangan.
BAS memeriksa belonnya sebelum memulakan penerbangan.
PEMANDANGAN indah waktu pagi sekitar Cyberjaya.
BELON udara panas menjadikan pemandangan Putrajaya pagi itu cukup menakjubkan.
BELON udara panas terbang bebas mengikut arah angin.
JURUTERBANG belon udara panas membuat persiapan sebelum pertunjukan malam.
PERMAINAN ‘The Human Wheel’ menghiburkan pengunjung.
SUASANA malam fiesta yang menceriakan.
PERTUNJUKAN bunga api melengkapkan kemeriahan Fiesta MyBalloon 2017.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Panorama indah matahari terbit di tengah Putrajaya cukup mengagumkan. Dengan landskap tersusun indah serta kedinginan angin pagi meniup lembut dapat dirasai saat terapung di udara ketika menaiki belon udara panas yang cukup menakjubkan.

Terasa bagai seekor burung yang sedang terbang, melayang di udara seperti hidup bebas tanpa ada yang menghalang.

Cuaca baik pagi itu juga memberi peluang kepada penulis, rakan media dan juga juruterbang belon udara panas melihat sendiri pesona matahari terbit.

Ternyata, walau sudah acap kali menaiki belon udara panas di lokasi sama, namun pengalaman kali ini berlainan.

Kelainan itu jugalah yang diperakui juruterbang belon udara panas yang menjelajah serata dunia menerbangkan belon masing-masing untuk melihat sendiri keindahan alam menakjubkan ini.

Memasuki penganjuran kali ke-9, Fiesta MyBalloon yang baru melabuhkan tirainya Ahad lalu tetap dinantikan peminatnya termasuk juga juruterbang belon udara panas dari pelbagai negara.

Jika sebelum ini keseluruhan fiesta diadakan di Presint 2 Putrajaya, penganjurannya kali ini sedikit berbeza dan membabitkan dua lokasi iaitu di Putrajaya dan di Desa Park City.

‘Hare & Hound’ uji kecekapan

Bagi pengunjung, fiesta belon udara panas ini ibarat satu pertunjukan belon pelbagai bentuk dan berwarna-warni yang cantik.

Namun, bagi juruterbang, ada persaingan atau pertandingan yang dipanggil ‘Rudy’s Trophy’ atau dikenali sebagai Hare & Hound.

Menerusi Hare & Hound ini, peserta perlu mencari tanda X dan menurunkan petanda paling hampir dengan kawasan sasaran. Markah dikumpulkan sepanjang tiga hari fiesta itu dan belon yang mendapat skor tertinggi akan menerima Rudy’s Trophy.

Seawal jam 7 pagi, selesai taklimat, juruterbang belon udara panas dan kru sibuk membuat persiapan sebelum memulakan penerbangan.

Angin yang bertiup lembut melancarkan penerbangan semua peserta yang datang dari pelbagai negara antaranya Korea, Jepun, Netherlands, Jerman, Mexico, Filipina, Vietnam, Belgium, Amerika Syarikat, India dan Malaysia.

Melalui ruang udara Putrajaya dan terus ke Cyberjaya, selain menikmati pemandangan, penulis yang menaiki belon udara panas yang dikemudi Bas Spierenburg, 34 dari Netherland turut sibuk mencari petandanya.

Nyata pengalaman terbang sebanyak 1,600 kali di seluruh dunia bermula 2003 digunakan sebaiknya dalam mengemudi belonnya sekali gus menjadi pemenang dalam pertandingan Hare & Hound tahun ini.

Belon dalam taman

Selesai misi juruterbang belon udara panas ini di Putrajaya, aktiviti menarik di fiesta pula menanti bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Bertemakan belon dalam taman, lokasi Fiesta MyBalloon 2017 iaitu di Desa ParkCity nyata memberikan kelainan berbanding penganjurannya kali ini.

Diadakan di bandar dan kawasan berumput, fiesta ini menyediakan kemeriahan dalam suasana santai. Pengunjung digalakkan membawa tikar atau alas tempat duduk untuk duduk bersantai ala berkelah sambil melihat pertunjukan belon udara panas.

Pengunjung juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik.

Kehadiran artis Sepanyol, Jordi Enrich, menambahkan kemeriahan acara apabila Jordi menunjukkan bagaimana belon udara panas boleh dikitar semula menjadi iglu dan boleh dimasuki pengunjung bagi menikmati pelbagai aktiviti di dalamnya.

Tayangan filem mengenai belon udara panas turut disediakan kepada pengunjung.

Night Glow meriahkan malam fiesta

Bermula jam 8.30 malam, pertunjukan Night Glow adalah sesuatu yang cukup di nanti-nantikan. Menerusi segmen digemari pengunjung ini, belon udara panas ini akan dibuka tetapi ia tidak terbang sebaliknya membuat persembahan.

Cahaya lampu dari belon udara panas pelbagai bentuk antaranya telur ayam, ayam, Tako II dan Happy Chan yang berkerdipan mengikut rentak muzik rancak cukup menghiburkan.

Selain persembahan dari belon udara panas yang mengambil bahagian, pertunjukan fesyen, pelbagai permainan dan aktiviti menarik serta jualan ‘food truck’ memeriahkan suasana malam.

Rata-rata pengunjung terhibur dengan kemeriahan Fiesta MyBalloon 2017 walaupun hujan renyai membasahi bumi.

Malaysia punyakeunikan tersendiri

Memasuki tahun kelima terbang di udara Malaysia, Spierenburg nyata terpesona dengan pemandangan yang disajikan di negara ini.

Katanya, Putrajaya punya keunikan dan landskap yang indah serta mempesona.

“Walaupun sudah lebih lima kali melakukan penerbangan di sini, pemandangan yang disajikan tetap mempesonakan terutama tatkala matahari terbit dan menyeberangi tasik.

“Terasa gembira dan bebas walaupun terdapat banyak bangunan tinggi di sini sekali gus memberikan kelainan tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 10:40 AM