KANAK-KANAK mangsa pelarian perang.
KANAK-KANAK masyarakat Badwi.
KEADAAN tempat tinggal masyarakat Badwi.
PRESIDEN Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan melawat pesakit.
KANAK-KANAK mangsa pelarian perang.
KEADAAN hospital yang merawat tentera prokerajaan.
ANTARA mangsa perang saudara.
KEADAAN kanak-kanak kurang nutrisi makanan.
SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia dan Peace4Yemen.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my


Konflik perang saudara di Yaman yang tercetus sejak dua tahun lalu kini mengancam lebih 370,000 kanak-kanak di negara itu dan mereka berdepan krisis kekurangan nutrisi makanan.

Sejumlah besar kanak-kanak berkenaan di ambang maut apabila mereka hanya bergantung kepada bekalan ubat dan vitamin tambahan yang diberikan oleh hospital milik kerajaan.

Bagaimanapun, bekalan ubat-ubatan berkenaan sangat terhad dan dimaklumkan semakin berkurangan tatkala konflik dalaman yang tercetus di Yaman tidak menunjukkan tanda noktah.

Penulis berkesempatan melihat sendiri situasi di Yaman dan ‘memahami’ konflik yang tercetus apabila mengikuti Misi Kemanusiaan anjuran Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) beberapa minggu lalu dan hakikat rakyat negara itu amat menyedihkan.

Kebanyakan kanak-kanak di negara berkenaan tidak mendapat bekalan makanan yang sepatutnya seperti susu formula, makanan tambahan lain dan suntikan imunisasi seperti yang dilaksanakan di negara kita.

Kurus, tidak bermaya dan menghadapi pelbagai penyakit antara gambaran kanak-kanak di Yaman yang bergantung kepada pemberian ubat yang dihantar oleh pertubuhan antarabangsa.

Sebahagian ubat-ubatan ini perlu dibeli oleh pesakit di Yaman dan adakalanya harga pasaran untuk ubat terbabit 10 kali ganda lebih mahal daripada negara lain.

Keadaan itu berlaku berikutan kekurangan bekalan ubat biarpun kadar permintaannya saban hari semakin tinggi.

Selain itu, masalah kemiskinan membelenggu kebanyakan rakyat Yaman mengakibatkan keluarga yang mempunyai anak kekurangan nutrisi makanan ini hanya mampu ‘mendiamkan diri’.

Seorang ibu kepada kanak-kanak ini yang mahu dikenali sebagai Hajar, 40-an mengakui hakikat mereka tidak mampu untuk membeli ubat dan hanya mengharapkan bekalan daripada hospital yang begitu terhad.

“Ubat jika dibeli di farmasi, harganya mampu menjangkau pendapatan sebulan kami. Jika kami beli, bagaimana untuk menampung makan minum kami sekeluarga dan keperluan anak lain?,” itu luahan Hajar.

Situasi di negara itu juga tidak begitu mengizinkan untuk sektor ekonomi berkembang seperti industri perkilangan, pertanian secara ladang dan beberapa bidang yang mampu menjana pendapatan.

Kegiatan ekonomi di negara itu tidak dapat dikomersialkan akibat tiada kestabilan politik sekali gus rakyat Yaman ke kancah kemiskinan paling buruk pernah direkodkan sejak lebih sedekad lalu.

Penulis melihat keadaan infrastruktur asas seperti jalan raya yang menghubungkan antara bandar dan sempadan tidak diselenggara dan itu antara punca bekalan makanan serta ubat-ubatan tidak dapat dihantar ke negara itu.

Kawasan selamat atau ‘Safe Zone’ di Yaman adalah Wilayah Hadramaut dan laluan darat yang menghubungkan antara sempadan Salalah, Oman dan Yaman perlu melalui hampir 900 kilometer dengan keadaan lebuh raya yang tidak diselenggara secara baik.

Realiti itu menyukarkan kemasukan bekalan bahan mentah ataupun bantuan ubat-ubatan ke kawasan berkenaan memandangkan Wilayah Hadramaut mampu untuk menghubungkan ke beberapa bandar lain yang terjejas teruk seperti Taiz, Ma’rib dan Aden sendiri.

Pengangkutan udara pula sangat terhad di Yaman. Hampir semua lapangan terbang sudah ditutup termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a dan satu-satunya yang masih beroperasi adalah Lapangan Terbang Seyoun yang jaraknya lebih 50 kilometer.

Bagaimanapun, tiket penerbangan di lapangan terbang itu serta kos penghantaran kargo adalah 30 kali ganda lebih mahal dan ia bukan pilihan yang baik untuk menghantar sejumlah kuantiti bekalan yang banyak.

Yaman yang dikategorikan sebagai negara termiskin di rantau Arab pada 2014 berdepan perang saudara apabila Tentera Pemberontak Houthi melancarkan serangan di beberapa wilayah bahagian utara negara itu termasuk Sana’a yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan.

Kerajaan Yaman yang ditadbir oleh Presiden Abd Rabbo Mansour Hadi terpaksa melarikan diri ke Wilayah Aden, kira-kira 400 kilometer (km) dari Sana’a dan menjadikan pusat pentadbiran sementara di lokasi itu.

Biarpun Wilayah Aden sebagai ‘Pusat Pentadbiran Sementara’ namun lokasinya yang dekat dengan pelabuhan serta Teluk Aden menjadikan kedudukan pentadbiran berkenaan sangat strategik.

Situasi terkini memaklumkan bahawa Wilayah Aden menjadi sasaran utama Tentera Pemberontak Houthi dan jika wilayah berkenaan mampu ditakluk, pentadbiran kerajaan di Yaman akan lumpuh sepenuhnya.

Abd Rabbo Mansour dalam satu kenyataannya awal tahun lalu menggesa negara Islam lain untuk membantunya dan seruan itu disahut oleh Arab Saudi sekali gus menyertai kempen serangan terhadap Tentera Pemberontak Houthi.

Tentera pemberontak yang mengamalkan aliran ‘Syiah Zaidiyyah’ dikatakan proksi kepada Iran dan berhasrat mengambil alih pentadbiran Yaman.

Oman pula yang bersempadan dengan Yaman hanya mengambil langkah berkecuali dan keputusan negara itu dipercayai didorong kerana perjanjian dagangan minyak dengan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 11:48 AM