AIZA (kiri) dan Ratna dengan mi sihat mereka.
SEMUANYA daripada pewarna semula jadi sayur-sayuran.
BAHAN dikisar rata.
MESIN sebegini memudahkan proses pembuatan.
SUDAH jadi mi. Pewarna semula jadi daripada rebusan keledek ungu.
REBUS dalam air mendidih sebentar saja, apabila ia terapung bermakna mi sudah masak.
Kusyi Hirdan
am@hmetro.com.my


Mi sihat yang sudah lama didambakan kini sudah tiba! Penulis tahu ramai yang biasa membuat mi, laksa dan juga kuetiau sendiri di rumah kerana mahu menjamin kesedapan serta kebersihannya.

Mi memang antara pilihan masyarakat kita selain nasi dan bihun. Membeli di kedai memang pilihan popular walaupun kita tahu ia bukan pilihan yang sihat.

Penulis amat tidak menggemari mi kuning yang apabila dibasuh, warna air rendamannya sangat kuning dan berbau menyengat. Minyak juga terlalu banyak. Kelat rasa kapur begitu ketara.

Situasi ini biasa kerana pengeluaran mi secara komersial memerlukan ia ditambah pengawet serta bahan kimia lain. Justeru, ambil langkah hasilkan mi sendiri di rumah kerana Aizam Abu Talib atau Aiza memberitahu cara yang begitu mudah sekali untuk kita membuatnya.

“Mi yang saya hasilkan ini memang mi sihat kerana bahannya hanya tiga iaitu tepung, garam dan air. Air pula dicampur dengan pewarna semula jadi iaitu dibuat sendiri menggunakan kisaran sayur atau buah-buahan. Kali ini saya tunjukkan tiga pewarna yang kami buat awal iaitu daripada sumber lobak, bayam dan keledek ungu,” katanya.

Hasilnya, mi keluaran Aiza dan pembantunya Ratna Juita Abdul Manan berwarna ungu, hijau dan kuning.

Mi berwarna hijau? Ungu? Kuning?

Sebelum ini apabila membayangkan pewarna tiruan yang biasa digunakan, kita terasa ngeri. Ia tentu saja tidak semula jadi. Dan kini, sudah ada pilihan bijak bagi mengatasi masalah itu kerana alternatif yang sihat ada di hadapan mata. Tiada alasan lagi untuk kita mendapatkan makanan sihat kerana penyediaannya juga mudah, ringkas dan cepat.

“Menghasilkan sendiri mi, kita tahu jenis bahan digunakan. Hasil mi kita turut mengandungi zat sayuran,” katanya.

Mi mudah dan pantas

Aiza memang sangat aktif di bidang masakan dan pengajaran ilmu memasak ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sehinggalah ke Singapura. Dia dipanggil untuk mengajar masakan, lauk-pauk, kek, dim sum, kuih talam dan biskutnya yang terkenal dengan jenama Aiza Cookies.

“Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya sentiasa belajar mengenai produk baharu untuk menambah ilmu. Kebanyakannya, saya pelajari di Indonesia kerana dunia bakeri sangat jauh ke hadapan berbanding kita.

“Balik ke Malaysia, saya berkongsi pula ilmu dan informasi baru dengan pelajar di sini. Cara membuat mi ini turut saya pelajari daripada cef terkemuka di sana. Dari situ, saya lebih tahu mengenai penggunaan bahan walaupun maklumat biasa seperti pemilihan tepung. Ia memberi perbezaan ketara sekiranya salah memilih bahan berkualiti,” katanya.

Dalam penghasilan sebarang produk makanan, hasil yang terbaik akan terhasil melalui produk yang baik.

“Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mengapa mi di negara lain lebih kenyal sedangkan mereka menghasilkannya tanpa pengawet atau air kapur? Contohnya mi tarik cina yang sangat kenyal. Sebenarnya tepung memainkan peranan. Kebanyakan kita menggunakan tepung biasa.

“Sekiranya kita menggunakan tepung yang terbaik, mi yang terhasil akan kenyal dengan sendirinya tanpa perlu menambah bahan kimia lain. Resipi saya ini menggunakan tepung roti Jepun. Ia memang lebih mahal daripada tepung biasa, tetapi hasilnya sangat berbeza dari segi kualiti. Sekiranya sukar mendapat tepung ini, ia boleh diganti dengan tepung ‘unbleached’ berprotin tinggi. Itu pilihan kedua,” katanya.

Aiza mencampurkan adunan setengah kilogram tepung, lima gram garam dan 175 gram air yang didapati daripada hasilan sayuran, semuanya dikisar sebati sebelum memasukkannya ke dalam acuan memproses mi.

Ada pelbagai jenis acuan mi dan anda boleh memilih mengikut kesukaan apatah lagi ia banyak dijual di pasaran sekarang.

“Setelah siap mi, rebus dalam air menggelegak yang dicampur sedikit minyak sayuran. Ini supaya mi tidak melekat. Sekejap sangat proses ini, mungkin sekitar seminit saja, mi sudah timbul. Ini petanda ia sudah masak dan perlu dikeluarkan. Sedikit minyak sayur lagi dicampurkan apabila mi sudah keluar. Gaul rata. Sebabnya masih sama iaitu supaya ia tidak melekat,” katanya.

Mi sihat ini menurut Aiza, mudah sekali dibuat dan sesuai untuk makanan seisi keluarga.

“Ini juga cara memberi khasiat sayur pada keluarga kerana pewarna air itu boleh menggunakan apa saja jenis sayur seperti brokoli, sawi, bayam dan pelbagai sayur-sayuran berwarna. Gunalah kreativiti sendiri. Mi ini tahan empat hingga lima hari sekiranya disimpan elok di dalam peti sejuk,” katanya.

Ini bermakna anda boleh menyediakannya awal untuk hidangan keluarga di hujung minggu atau ada tetamu yang bakal mengunjungi rumah.

Ketika kunjungan itu, Aiza membuat mi berkuah sup. Apa saja resipi sesuai dipadankan seperti goreng, kuah atau dimakan dengan sos kegemaran keluarga anda.

Bantu jana duit

Disebabkan mi ini tanpa pewarna tiruan, pengawet dan asid borik, tentu saja pilihan ini terbaik untuk seisi keluarga. Boleh hadir ke kelas yang dianjurkan Aiza untuk mempelajari teknik membuatnya bersama resipi lain.

“Kebanyakan pelajar saya menggunakan ilmu masakan ini untuk memulakan perniagaan demi menambah pendapatan keluarga.

“Ramai yang suka menceburi bidang ini kerana tidak perlu bekerja dengan orang sebaliknya atas usaha sendiri menggunakan masa sendiri. Di samping itu mereka dapat menjaga anak-anak,” katanya.

Aiza sering teringat kata-kata temannya supaya jangan tertekan dengan kehidupan, sebaliknya lakukanlah apa yang kita suka selagi ia membawa kebaikan.

“Walau menceburi bidang perniagaan kuih dan masakan hampir 20 tahun, saya masih mencari ilmu dan menghadiri kursus demi menambah pengetahuan. Kita semua mesti rajin dan berusaha menambah ilmu,” katanya.

Aiza boleh dihubungi di Facebooknya Aiza Cookies.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 12:39 PM