LAPAN koleksi selendang, tudung segera direka penuhi keperluan wanita moden.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Pemakaian selendang dan tudung segera terus mencipta fenomena dalam dunia fesyen tanah air meskipun banyak rekaan baru muncul hampir setiap hari. Seakan-akan berjanji, majoriti Muslimah negara ini sehati sejiwa dalam menetapkan kriteria tudung yang hendak dipakai setiap hari.

Kalau boleh, semuanya hendak disarung terus ke kepala. Tidak perlu bersusah payah melilit, mengenakan banyak pin mahupun acapkali diperbetulkan untuk mendapatkan bentuk cantik dan terletak kemas.

Percaya kepada potensi untuk memenuhi keperluan pasaran, Milyunir Global Sdn Bhd memperkenalkan lapan koleksi selendang dan tudung segera yang direka khusus untuk memenuhi keperluan wanita moden kini.

Pengasasnya Azizi Iliyas berkata, koleksi berkenaan dinamakan sempena duta produk Milyunir yang juga ikon selebriti ibu tunggal, Fasha Sandha.

“Koleksi Fasha Sandha by Milyunir inspirasi daripada gaya hidup Muslimah yang mahukan selendang dan tudung cantik, ringkas, berperincian sederhana, menggunakan fabrik berkualiti dan boleh dimiliki pada harga mampu milik. Dalam erti kata mudah, kami mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk mengenakan tudung.

“Pada masa sama, kami juga komited bagi membantu meningkatkan tahap keyakinan diri ramai wanita yang mungkin sebelum ini merasakan imej bertudung memerlukan penelitian dan masa untuk digayakan,” katanya.

GAYA SELEBRITI

Meneliti satu per satu koleksi Fasha Sandha by Milyunir, jelas keunikan selendang dan tudungnya boleh dilihat menerusi pemilihan fabrik, susunan swarovski, kemasan jahitan serta dua label eksklusif.

“Bercakap soal tudung, kita perhatikan ramai wanita mencari koleksi mudah dipakai, diperbuat daripada fabrik berkualiti serta mempunyai perincian minimum, tetapi menyerlah umpama selendang yang dipakai golongan selebriti.

“Maksudnya, apabila mereka mengenakan tudung, akan datang satu perasaan seolah-olah diri mereka cantik bergaya setanding selebriti. Itulah keunikan yang kami tawarkan. Tudung ini menjana keyakinan dalam diri setiap wanita.

“Kriteria sebegini penting kerana tidak semua pengguna mudah berpuas hati dengan nilai ratusan ringgit yang dibayar untuk sehelai tudung berjenama sedangkan kami memberi pilihan yang baik pada harga serendah antara RM35 hingga RM89 saja,” katanya.

Menggunakan material sifon mutiara dan kristal untuk keseluruhan koleksi, pilih saja jenis tudung asas dengan pilihan warna tanpa hiasan swarovski atau jenis premium yang berkemilau.

Koleksi asas terbahagi kepada Halfmoon, 2Loop, Perla dan Rosa. Manakala premium boleh didapati dalam siri Crystal, Stardust, Glam dan bercorak, Chroma Classic. Setiap koleksi mempunyai antara 12 hingga 16 pilihan warna, bergantung kepada jenis dan siri tudung.

“Bagi siri Crystal umpamanya, kami gunakan fabrik sifon mutiara yang berat supaya nampak cantik terletak sekali gus menonjolkan susunan 24 batu swarovski di kiri dan kanan selendang. Siri Stardust pula menyerlahkan susunan swarovski di bahagian atas kepala, manakala Glam memberi fokus kepada perincian swarovski di bahagian tepi wajah.

“Satu-satunya siri fabrik bercorak, Chroma Classic tidak mempunyai perincian swarovski tetapi menarik dikenakan bersama busana polos atau padanan kasual,” katanya.

Semua koleksi boleh didapati menerusi laman web www.milyunir.com atau menerusi ejen di seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.

TIP PENJAGAAN TUDUNG

1. Mencuci

Bagi selendang jenis sifon atau fabrik jarang dan sensitif, elakkan mencuci dengan menggunakan mesin basuh. Sebaiknya lakukan cucian tangan dengan hanya merendam dan menggosok fabrik perlahan-lahan. Cuci kotoran dengan sabun bersesuaian. Untuk bahagian perhiasan daripada jenis logam, jangan rendam bersama untuk mengelak daripada berkarat.

Andai tercalit mekap terutama pada bahagian sengkuap, gunakan sabun, krim ataupun gel mandian manakala bagi luaran tudung pula celup dalam air sabun seketika kemudian bilas.

2. Menjemur

Jangan perah atau mengibas selendang atau tudung kerana ia mungkin akan menyebabkan perincian rosak. Jemur saja tudung selepas direndam dan biarkan sehingga kering. Paling penting, jangan menjemurnya di bawah cahaya matahari yang terik kerana boleh menyebabkan kain cepat rosak.

3. Menyimpan

Simpan tudung di tempat khas dan pastikan bahagian yang memiliki perincian tidak renyuk. Paling mudah gunakan penyangkut tudung yang kini boleh didapati dengan mudah di pasaran.

4. Menggosok

Tidak semua selendang atau tudung perlu digosok, tetapi bagi mereka yang memerlukannya, pastikan lapik bahagian bawah papan gosok sebelum memulakan proses menggosok. Terbalikkan tudung atau selendang bagi memudahkan proses menggosok terutama jika memiliki perincian ataupun aksesori seperti batuan ataupun manik. Lebih elok jika tudung dikemaskan menggunakan seterika wap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 5:50 AM