CARA meletakkan labu sayong yang dibakar menggunakan mesin berteknologi.
SUDUT pandangan berbeza produk dihasilkan Ahmad Cukri.
TERSUSUN indah produk seramik hiasan berlatarkan warna meranti.
AHMAD Cukri teliti dalam menyusun letak setiap produk krafnya.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Berkelahiran Sayong, Kuala Kangsar, siapa yang tidak mengenali individu ini terutama dalam kalangan peminat kraf seramik.

Ahmad Cukri Mat Johor yang kini bergelar pengusaha Era Seramik sering menghabiskan banyak masa dengan kerja penghasilan labu sayong di bengkelnya.

Malam pula antara waktu paling dinantikan kerana setiap idea yang tercetus menjadi asas permulaan produk itu dengan identiti tersendiri.

“Daripada idea asal hingga kemasan terakhir produk seramik itu, semuanya dilakukan di bengkel ini.

“Suasana malam yang sunyi pula adalah peluang untuk saya memberikan sepenuh tumpuan dalam penghasilan produk terbaik selari kehendak masa kini,” katanya ketika ditemui sempena program Liputan Media Di Perak anjuran Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.

Keadaan bengkelnya yang kemas dengan semua produk kraf sudah siap tersusun rapi bagaikan ruang pameran itu membuktikan usahawan ini dilihat begitu serius menggarap bakatnya.

“Semua kraf yang baru siap dihasilkan diperagakan pada rak tersedia di bengkel ini sebelum ia dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan.

“Sekurang-kurangnya anda yang berkunjung ke bengkel ini berpeluang melihat sendiri produk baru dihasilkan,” katanya.

Malah beliau lebih bersemangat untuk terus menceburi dunia seramik kerana tempahan yang diterima sangat menggalakkan.

Apatah lagi kraf berkenaan turut digemari pelbagai lapisan usia termasuk generasi muda.

Peka dengan perkembangan semasa dan trend kegemaran atau popular hari ini, mendorong Ahmad Cukri cuba sedaya upaya menampilkan kelainan.

“Produk seramik untuk hiasan umpamanya, diketengahkan dengan rekaan terbaru berkonsepkan moden dan kontemporari.

“Ia antara yang menjadi pilihan ramai kerana sesuai dijadikan hiasan untuk pelbagai konsep dekorasi,” katanya.

Antara yang menarik perhatian penulis adalah kraf terbarunya dinamakan labu sila iaitu rekaan labu sayong tidak berkaki bagaikan ‘duduk bersila’.

Bercerita berkenaan keistimewaan setiap produk krafnya itu, Ahmad Cukri berkata daun pinang dan bunga matahari antara motif utama yang secara tidak langsung menjadi identiti Era Seramik.

“Dua motif ini yang banyak saya terapkan pada setiap produk dari rekaan moden hingga tradisional.

“Ia sebagai satu identiti dan pengenalan untuk semua kraf seramik yang saya hasilkan ini,” katanya yang tidak sesekali mengaku kalah apabila berdepan cabaran dalam bidang berkenaan.

Nilai estetika yang menyerlahkan keunikan kraf seramik Ahmad Cukri itu nyata tidak hanya menarik perhatian peminat dalam negara saja.

Lebih membanggakan ada peminat dari luar negara termasuk London dan Singapura turut menjadikan krafnya sebagai koleksi paling berharga.

Bagi memenuhi permintaan dan selari trend semasa, kraf seramik yang dihasilkan untuk tujuan hiasan dilihat berbeza dengan produk seramik kegunaan harian.

Kraf seperti bekas pelbagai guna dan bekas telur tampil dengan warna dinamakan meranti berbanding produk kegunaan harian yang diketengahkan dengan warna tanah atau natural.

“Bezanya, kraf warna meranti ini sedikit berkilat dan ada bahan kimia dalam kemasannya sementara yang bukan untuk hiasan bebas warna atau bahan kimia.

“Bagaimanapun, ia dihasilkan mengikut permintaan kerana cita rasa dalam kalangan kita tidak sama,” katanya yang mendapatkan bahan mentah dari kawasan sekitar termasuk Kampung kepala Bendang.

Era Seramik terletak di No 40C, Kampung Pauh, Sayong atau layari Facebook eraseramik untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 6:21 AM