Tuan Asri Tuan Hussein

Kelmarin, saya menyanyi lagu Negaraku. Saya menyanyi dengan penuh bersemangat sambil bulu roma meremang dan sesekali rasa sebak serta bangga menusuk di hati.

Saya sendiri tak pasti mengapa timbul semua rasa itu. Mungkin sebab sudah lama tak menyanyi lagu keramat itu. Kalau di sekolah dulu, memang selalu menyanyi Negaraku tapi ketika itu saya menyanyi tanpa perasaan, main-main lagi ada.

Tapi kelmarin, Negaraku saya nyanyikan di satu majlis mulia, majlis diadakan khusus membantu insan yang ditindas dan dizalimi iaitu Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya (ICR) yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya membabitkan lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara.

Selama tiga hari menyertai persidangan itu saya seronok dan bangga melihat rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang bersatu hati, bekerjasama atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Saya gembira kerana semangat dan budaya sukarela serta keprihatinan yang tinggi terhadap hak asasi manusia yang sebelum ini saya lihat hanya ketara di luar negara, kini wujud di Malaysia.

Pada 2012 ketika singgah di Istanbul, Turki untuk menyempurnakan misi bantuan kemanusiaan ke Syria bersama Muslim Care Malaysia, saya berkesempatan menjenguk pejabat IHH - pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar di negara itu.

Saya amat kagum apabila diberitahu IHH atau pergerakan untuk Kebebasan dan Hak Asasi Manusia memiliki lebih 200 kakitangan sepenuh masa, tiga kapal serta bergiat aktif dengan aktiviti kebajikan di hampir 100 negara.

Ketika menyantuni pelarian Syria di Republik Czech, Austria dan Jerman pada 2015 saya perlihatkan pula budaya dan semangat kemanusiaan yang tinggi oleh NGO negara berkenaan.

Mereka yang sebahagian besar bukan beragama Islam tidak menjadikan faktor itu halangan menolong menyediakan makanan, pakaian, ubat-ubatan dan tempat tinggal kepada pelarian Syria dan negara Asia Barat lain beragama Islam.

Ketika itu, timbul persoalan di hati saya adakah suasana sebegitu boleh wujud di Malaysia? Alhamdulillah, persoalan saya kini terjawab dalam tempoh singkat. Siapa kata rakyat Malaysia tak hebat?

IRC memberi isyarat jelas rakyat Malaysia kini bersedia menjadikan aktiviti sukarela sebagai budaya. Sudah terbukti rakyat Malaysia memiliki semangat kemanusiaan tinggi memberi bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama, politik dan status sosial.

IRC digerakkan atas gabungan usaha kerajaan dan NGO Malaysia. Penganjur persidangan itu ialah Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan NGO Yayasan Amal Malaysia.

Peserta dari dalam negara membabitkan pelbagai pihak terutama NGO, pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pensyarah universiti, media, selain badan dan tokoh korporat yang prihatin.

Peserta dari luar negara pula membabitkan persatuan komuniti Rohingya dari Bangladesh, United Kingdom, Arab Saudi, NGO dari Turki, Sudan serta wakil Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Dalam ucapan penutupan persidangan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis pada hari itu amat unik dan istimewa, sekali gus menggambarkan kesatuan rakyat Malaysia dalam memperjuangkan isu hak asasi manusia.

Ini kerana ICR berjaya menghimpunkan ramai tokoh daripada latar belakang berbeza untuk bersetuju satu perkara yang sama iaitu membela nasib penduduk dan pelarian Rohingya serta mendesak kerajaan Myanmar menghentikan kezaliman mereka.

Antara tokoh yang hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang juga Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat, Panglima ATM Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Alwi Ibrahim.

“Mengapa persidangan ini diadakan di sini? Mengapa di Malaysia? Mengapa kita begitu bersungguh-sungguh dalam isu Rohingya ini? Sebabnya, kerana kita prihatin terhadap saudara kita ini.

“Walaupun negara kita kecil tapi rakyat Malaysia berjiwa besar. Isu Rohingya bukan isu agama tapi soal hak asasi manusia,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan penutupnya dan beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif IPSOM, Dr Lee Bee Phang atas komitmennya menganjurkan ICR.

ICR sudah berakhir, namun tanggungjawab kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyelesaikan isu Rohingya masih berterusan, malah tugas dan episod baru kini baru hendak bermula.

Tugas paling mencabar menterjemah segala yang dibincangkan termasuk 14 resolusi yang dihasilkan IRC ke dalam bentuk tindakan. Hakikat ini disedari semua peserta.

Insya-Allah kami akan memastikan perjuangan membantu penduduk Rohingya diteruskan dan segala yang diperbincangkan sepanjang IRC, tidak sekadar berakhir di atas meja perbincangan dan di dalam bilik seminar.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:49 AM