Muhamad Safar Ahmad

Semalam bermulanya cuti pertengahan penggal pertama sekolah selama seminggu.

Namun agak menyedihkan permulaan cuti kali ini kita dihidangkan dengan kisah menyayat hati kanak-kanak lemas ketika memancing di Sungai SKC Bukit Beruntung, Selangor.

Ketika artikel ini ditulis, lima mayat mangsa sudah ditemui manakala dua lagi masih hilang.

Ini bukan kali pertama sungai berkenaan mengambil nyawa manusia kerana pada awal tahun ini seorang lelaki berusia 38 tahun, Zulkifli Basir dilaporkan lemas akibat dihanyutkan arus ketika menjala ikan bersama rakannya.

Menurut cerita, arus sungai berkenaan agak deras dan menjadi sangat berbahaya pada musim hujan.

Kita tidak mahu minta perkara buruk namun jika tidak beringat sungai itu mungkin menagih korban lagi.

Khabarnya lokasi kejadian adalah lubuk ikan dan menjadi syurga kaki pancing kerana mereka tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

Pastinya ketika ini ibu bapa dan keluarga mangsa dalam keadaan bersedih untuk menerima kehilangan orang tersayang.

Rasanya tidak perlulah kita menuding kepada mana-mana pihak kerana apa yang berlaku sudah ditakdirkan namun kita boleh mengambil beberapa pengajaran daripada apa yang berlaku.

Sebagai ibu bapa, mana mungkin sepanjang mangsa berupaya memantau pergerakan anak-anak dan penulis yakin setiap ibu bapa sudah pasti sentiasa berpesan kepada anak masing-masing mengenai aspek penjagaan dan keselamatan diri.

Bagaimanapun, jiwa anak di usia begini sentiasa meronta untuk melakukan aktiviti yang diminati dan akan sentiasa mencuri ruang untuk melakukannya walaupun menyedari ia memiliki risiko tersendiri.

Pada usia melangkah masuk ke alam remaja, golongan ini di dada mereka biasanya penuh dengan rasa teruja dan ingin mencuba melakukan hobi masing-masing.

Lihat saja kes lapan remaja yang terkorban dalam nahas jalan raya membabitkan basikal ditunggangi mereka dengan sebuah kereta di Johor baru-baru ini.

Perdebatan mengenai siapa yang salah dan siapa yang benar masih berlanjutan sehingga hari ini.

Dalam situasi ini sewajarnya kita mencari penyelesaian supaya insiden sedemikian tidak berulang atau sekurang-kurangnya diminimumkan.

Bagi sesiapa yang mempunyai anak mereka amat faham bahawa waktu cuti sebegini, anak-anak mempunyai perancangan mereka sendiri untuk diisi bersama rakan.

Ada yang mahu menjalani aktiviti luar seperti berkhemah, memancing atau berenang dan ada yang mahu menghabiskan masa melepak di pusat beli-belah.

Ibu bapa seharusnya sudah peka dengan rutin sebegini dan bersedia mengambil langkah sewajarnya.

Melarang, memarahi atau ‘mengurung’ anak-anak adalah penyelesaian sementara sebab seperti dinyatakan tadi, tempoh 24 jam sehari, mana mungkin kita dapat mengawal pergerakan anak-anak kita sepanjang mangsa.

Pasti ada kelompangan ruang yang boleh dicuri anak-anak dan ketika inilah bencana biasanya mengambil tempat.

Dalam situasi ini, penting bagi kita sebagai ibu bapa melengkapi anak-anak kita dengan sebanyak mungkin ilmu atau kemahiran sebagai persediaan untuk mereka jika perlu berdepan dengan insiden atau detik kecemasan.

Seeloknya anak-anak seawal usia lima tahun sudah dibekalkan dengan beberapa perkara asas seperti kemahiran berenang, kepekaan ketika berada di kawasan berisiko seperti di jalan raya dan kawasan tumpuan, bila bersendirian di rumah atau ketika berdepan dengan orang tidak dikenali.

Dengan sedikit ilmu yang ada mungkin pendedahan mereka kepada risiko dapat dikurangkan.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 2:19 AM