FARAH mencipta kesan solekan mengerikan menggunakan produk yang ada dalam beg kosmetiknya.
FARAH mencipta kesan solekan mengerikan menggunakan produk yang ada dalam beg kosmetiknya.
FARAH mencipta rupa Zombi yang menakutkan.
KESAN tetakan pada belakang badan adik lelaki Farah.
WAJAH Farah yang kelihatan seperti kesan dikelar dengan senjata tajam.
KESAN lebam dan luka ditembusi peluru pada lengan adiknya.
FARAH Fakih
Agensi

Kecederaan mengerikan pada tangan sehingga menampakkan tulang boleh membuatkan seseorang itu pengsan tetapi ia sebenarnya adalah hasil seni seorang pelajar menggunakan alat solek yang ada dalam beg kosmetiknya.

Bermula daripada minat mendalam terhadap filem seram, Farah Fakih, 19, berasal dari Dubai mula bereksperimen dengan alat kosmetik seperti pemerah pipi dan pembayang mata di dalam biliknya.

Transformasi daripada gadis cantik kepada zombi menyeramkan menyebabkan Farah bercita-cita menjadi pakar solekan kesan khas.

Farah berkata, ‘kecederaan’ pertama ciptaannya adalah solekan luka pada lengan yang kemudian gambar itu dikongsi di Twitter dan mendapat pujian ramai pengguna.

“Ramai yang terkejut dengan gambar itu, malah ada yang menyangka ia adalah kecederaan sebenar.

“Saya juga hampir tidak percaya kerana baru pertama kali membuat solekan ini dan ia kelihatan sangat realistik,” katanya.

Ujarnya, berbeza dengan jurusolek profesional lain, dia tidak mempunyai banyak produk kesan khas kerana ia tidak banyak dijual di Dubai dan harganya sangat mahal.

“Jadi saya gunakan barangan kosmetik yang ada dan bahan-bahan lain untuk mencipta sesuatu kesan khas,” jelasnya.

Untuk menghasilkan kesan lebam, Farah menggunakan pemerah pipi dan pembayang mata sebelum mengenakan bedak khas.

Bagi mencipta ilusi pada kulit pula, dia menggunakan lilin buatan sendiri yang dihasilkan daripada campuran jeli petroleum, tepung jagung dan bedak asas.

Bagi kecederaan di tangan, Farah menggunakan batang putik kapas sebagai tulang dan lilin buatan sendiri untuk menghasilkan kesan luka.

Farah juga menggunakan alatan sama menghasilkan imej kesan tetakan pada belakang badan adiknya.

Pelajar itu memberitahu, dia memperuntukkan hampir £35 (RM189) sebulan bagi membeli bahan solekan untuk hobinya itu.

“Saya mula memuat naik gambar dalam Instagram dan mendapat reaksi yang mengagumkan.

“Ramai pengikut Instagram meminta saya membuat lebih banyak solekan seperti itu. Ia sukar untuk dipercayai,” kata Farah yang biasanya hanya mengenakan gincu.

Farah menghabiskan masa berjam-jam di biliknya untuk menyempurnakan setiap solekannya.

Pelajar bidang bioteknologi di Universiti Sharjah itu juga merancang menceburi bidang solekan kesan khas jika laman Instagramnya terus mendapat perhatian.

“Sekiranya peluang tiba saya pasti merebutnya walaupun untuk tempoh yang singkat,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:02 AM