WILSON bersama peserta yang akan melakukan perjalanan ke Jerman.
WILSON bersama Volkswagen Beetle yang akan mengharungi perjalanan lebih 27,000 km.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Bagi membuktikan ketahanan produk, Continental Tyre Malaysia (CTM) menaja perjalanan empat jentera klasik untuk menyelesaikan siri penjelajahan merentasi benua dari ibu negara ke Jerman.

Perjalanan lebih 27,000 kilometer (km) itu membabitkan tiga van Volkswagen Combi dan sebuah Volkswagen Beetle, kebanyakanya berusia hampir separuh abad.

Pengarah Urusan CTM, Cameron Wilson berkata, perjalanan itu mengambil masa selama enam bulan merentasi 20 negara dengan keadaan iklim yang berbeza.

“Selain merentasi negara di Asia Tenggara, konvoi lima peserta itu akan melalui China, Mongolia, Trans-Siberia sebelum menjejaki Eropah dan tiba di Hessisch Oldendorf, Jerman.

“Sepanjang perjalanan ini, konvoi akan melakukan beberapa program amal di beberapa lokasi terpilih,” katanya.

Wilson berkata, pihaknya bersetuju menaja program berkenaan bagi membuktikan ketahanan barisan produknya yang berupaya mengharungi perjalanan jauh dan perbezaan suhu serta keadaan jalan raya.

“Program dipanggil #Live2Drive ini dilihat boleh mendidik orang ramai mengenai keselamatan jalan raya selain pemilihan tayar yang tepat.

“Pada masa sama, CTM berpeluang melaksanakan kerja amal sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Menurut Wilson, produk tayar Continental memang dikenali di seluruh dunia yang menawarkan ketahanan, keselamatan dan berprestasi tinggi berdasarkan teknologi Jerman.

“Saya mengucapkan selamat jalan kepada peserta sepanjang menempuh perjalanan yang mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:18 AM