HONDA City Baru.
RUANG dalaman Honda City Baru.
RUANG kokpit Honda City Baru.
RIM 16 inci dwi warna.
LAMPU belakang LED.
LAMPU hadapan LED.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) meneruskan momentum dengan meningkatkan penanda aras pasaran automotif tempatan apabila memperkenalkan City Baru yang mengujakan.

Model sedan yang menjadi peneraju segmen B ini dilengkapi pelbagai ciri terkini yang kebiasaannya diperoleh dalam kenderaan segmen C.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Katsuto Hayashi berkata, paling menarik model ini hadir bersama pelbagai ciri nilai tambah tanpa peningkatan harga.

“Saya berbangga kerana dapat menunaikan janji untuk menawarkan rakyat negara ini dengan City Baru yang memiliki pelbagai ciri segmen C pada harga segmen B.

“Saya yakin tiga varian ini mampu menarik minat golongan pembeli yang mahu menaik taraf dan menukar kereta mereka,” katanya.

Beliau berkata, sejak City generasi keempat ini dilancarkan pada Mac 2014, model berkenaan menjadi peneraju dalam kategori sedan segmen B apabila lebih 100,000 unit terjual atau mewakili hampir 40 peratus jualan Honda Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Honda City Baru mengekalkan enjin 1.5L i-VTEC dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) canggih yang dibangunkan Earth Dreams Technology Honda untuk menawarkan keseimbangan prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.

Ruang dalamannya dibangunkan di bawah prinsip reka bentuk Honda iaitu ‘Man Maximum, Machine Minimum’ yang memaksimumkan ruang untuk pemandu, penumpang dan barangan.

City Generasi keempat adalah contoh keselesaan terbaik yang mampu menyaingi model segmen D dengan ruang kargo 536 liter bukan sahaja lebih besar daripada model segmen C, malah setanding dengan sedan segmen D.

Untuk mengukuhkan kedudukan City selaku peneraju dalam segmennya dari segi keselamatan, Honda memperkenalkan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) sebagai ciri keselamatan standard pada semua varian.

Bukan itu sahaja, Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Lampu Pencahayaan Siang (DRL) LED, Cermin Sisi Boleh Lipat Automatik dan Rim Aloi Dua Tona juga menjadi ciri standard pada semua varian.

Untuk varian V yang memiliki spesifikasi paling tinggi, pelbagai ciri bernilai tambah pada segmen C ditawarkan seperti Lampu Depan LED dengan LED DRL, Lampu Kabus Hadapan LED, Lampu Belakang LED dan Ducktail Spoiler bersama Lampu Brek LED turut disertakan.

Varian ini juga hadir dengan tempat duduk kulit dan lapan unit pembesar suara untuk memberikan citarasa seperti sedan premium.

Pedal Penukar Gear (Paddle Shift) dan Kawalan Jelajah (Cruise Control) meningkatkan lagi kenikmatan pemanduan manakala kamera undur pelbagai sudut memberi lebih keselesaan kepada pemilik.

Enam beg udara pula memberikan ketenangan ketika memandu. City Baru didatangkan dalam lima warna iaitu perak, merah, putih, kelabu dan hitam dijual pada harga RM78,300 bagi varian S, RM84,600 (E) dan RM92,000 untuk varian V.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:18 AM