KAWASAN jalan di Sungai Moskva yang sentiasa sesak dengan kenderaan.
GEREJA St Basil yang tersergam indah.
GEREJA Savior on Spilled Blood.
PEMANDANGAN sungai Neva pada waktu malam.
PENIAGA jalanan berdekatan Church of the Savior on Spilled Blood.
PENULIS dan taman Kembara di hadapan St Issac Cathedral di St Petersburg.
PENULIS di Arbat Street yang terkenal sebagai lokasi beli-belah.
Nor Azian Rahmat
nazianrahmat@gmail.com


Meredah ibu kota Russia, Moscow tanpa panduan jurubahasa atau jurupandu semata-mata mahu melihat keunikan dan mengenali bangsa yang dikatakan bersifat tertutup serta tidak suka dengan pelancong asing kenangan bermakna buat penulis bersama sahabat Nurul Ain Ramli.

Mana tidaknya, perjalanan yang kami lakukan boleh dianggap sebagai ‘kembara nekad’ kerana persiapan awal hanya untuk mendapatkan visa, tiket penerbangan, pakaian serta sedikit bekalan makanan.

Selebihnya, urusan pengangkutan dan penginapan hanya berserah kepada nasib sebaik tiba di sana kerana kami menjelajah sebagai ‘backpackers’ (pengembara beg galas) bagi menjimatkan kos selain mahu mendekati serta merasai sendiri kehidupan masyarakat di sana.

Kembara di Moscow sebenarnya antara destinasi lawatan kami selama sebulan menjelajah beberapa negara Eropah yang kurang terkenal dalam kalangan pelancong Malaysia seperti Estonia, Latvia, Finland dan Poland.

Sengaja kami memilih Russia destinasi pertama dan bukan negara Eropah lain yang lebih selamat dan mesra pelancong berikutan terpengaruh dengan lokasi penggambaran filem ‘The Darkest Hour’ selain keinginan melihat sendiri bangunan Saint Basil Cathedral dengan lebih dekat.

Ketika mula menjejakkan kaki ke negara bekas Soviet Union ini, penulis bersama rakan mempunyai naluri ‘takut’ yang amat sangat kerana kami perempuan dan bertubuh kecil.

Sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo, Moscow, perasaan takut membuak apabila diekori lelaki yang memaksa kami mengambil khidmat pengangkutan mereka untuk ke bandar Moscow dengan alasan tiada khidmat pengangkutan awam lain disediakan.

Setelah sejam terperangkap di kawasan lapangan terbang untuk mencari pengangkutan alternatif ke kota Moscow, penulis bersama rakannya akhirnya berjumpa dengan orang Russia yang fasih berbahasa Inggeris.

Lelaki Russia itu memaklumkan cara dan di mana mendapatkan khidmat bas pengantara yang digunakan penduduk tempatan untuk ke stesen trem (pengangkutan awam seakan Komuter tetapi lebih laju) berdekatan.

Lokasi bas pengantara terletak kurang 300 meter di luar kawasan lapangan terbang. Tetapi timbul satu masalah, macam mana nak tentukan bas itu pergi ke destinasi yang kami ingin tujui disebabkan pemandu bas tidak tahu berbahasa Inggeris.

Selepas letih bercakap ibarat ayam dengan itik, kami nekad naik saja bas berkenaan. Alhamdulillah, ia menuju ke stesen trem yang kami inginkan.

Sebaik selamat sampai ke stesen, perkara pertama perlu diselesaikan adalah mencari trem menuju hotel bajet untuk kami berehat. Maklumlah, cuaca sejuk memerlukan kami cepat mendapatkan tempat untuk memanaskan badan.

Cabaran besar di Russia ialah mencari arah yang betul kerana semua papan tanda hanya dalam tulisan Russia. Jadi, cara terbaik adalah dengan bertanya kepada penduduk tempatan.

Biarpun ada yang bersikap sombong ketika ditanya, namun kami dapati ramai juga yang cuba membantu sebaik mengetahui kami adalah pelancong biarpun tidak faham ketika berbicara.

Pertolongan diberikan sedikit sebanyak mengikis persepsi negatif mengenai masyarakat Russia.

Malah, ketika berada di kawasan stesen itu lagi kami terpana dengan keunikannya apabila melihat lukisan serta mural di dinding serta siling stesen yang sangat indah dan bersifat artistik.

Di stesen trem ini juga, pergerakan eskalator amat laju dan kelihatan bagaikan masyarakat di sana berlumba dengan masa. Malah, di kawasan itu juga kami melihat bagaimana baik dan prihatinnya orang Russia. Ketika kami terkial-kial membawa beg berat, pasti akan ada yang menghulur bantuan untuk membawa beg sehingga kami keluar dari stesen.

Dugaan tidak berhenti di situ kerana sebaik turun di stesen, kami kehilangan arah mencari lokasi hotel bajet berpandukan risalah. Mujur ada penduduk menunjukkan arah hotel berkenaan.

Sebagai panduan bagi yang berhasrat menjelajah Russia secara ‘backpackers’, majoriti pengusaha hotel bajet tidak mesra pelanggan.

Malah, untuk masuk ke hotel anda perlu berhubung menggunakan khidmat interkom di luar pintu. Mereka akan bertanya jika ada membuat tempahan bilik. Jika tiada, memang tidak di layan.

Cara paling mudah dengan mendapatkan pertolongan masyarakat tempatan bagi mendapatkan bilik hotel. Anda tidak perlu risau kerana kebanyakan masyarakat tempatan sedia membantu kerana itulah cara kami mendapatkan bilik di hotel bajet sepanjang di Russia.

Hari kedua, mulalah kami menjelajah kota Moscow. Waktu siang kami peruntukan sepenuhnya menjelajah kerana berasa lebih selamat berbuat demikian.

Cuma menjadi masalah Moscow sebuah bandar yang amat besar. Untuk menjimatkan kos, kami berpindah dari satu hotel ke hotel lain, mengikut hotel paling hampir dengan lokasi kami lawati.

Alhamdulillah, sepanjang berada di Moscow tiada masalah menimpa dan dapatlah kami melawat beberapa lokasi menarik antaranya Saint Basil Cathedral, Sungai Moskva, Red Square, dan pusat jualan cenderamata di Arbat Street.

Selepas Moscow, destinasi kami seterusnya adalah St Petersburg, antara bandar besar terkenal di Russia.

Untuk ke St Peterburg, kami menggunakan khidmat kereta api yang mengambil masa hampir 10 jam perjalanan dan akan dikongsikan dalam artikel minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:19 AM