LEMANG periuk kera yang siap dihidang bersama rendang daging.
AZIZAH menunjukkan daun periuk kera yang siap dicuci.
ANAK perempuannya, Nur Lyana Sabri, turut membantu.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Lazimnya lemang dihasilkan menggunakan buluh dan dibakar tetapi berlainan bagi Azizah Mahmud, yang menjual lemang periuk kera menggunakan kaedah mengukus.

Bermula sekadar suka-suka, siapa sangka lemang periuk kera membawa pulangan memberangsangkan buat dia dan tiga adik-beradik lain yang mula menjalankan perniagaan itu sejak pertengahan tahun lepas.

Mengakui idea asal dari adiknya, Azimah Mahmud yang menyediakan menu itu ketika Aidilfitri tahun lalu, ia kemudian menjadi menu wajib kepada tetamu yang datang meskipun bukan musim perayaan.

“Asalnya hanya suka-suka bagi memenuhi masa lapang, tidak sangka ia menjadi sumber pendapatan sampingan. Mungkin unik dan jarang ditemui membuatkan orang ramai menggemarinya. Cara memasak lebih mudah dan menjimatkan masa. Buat masa ini kami mempunyai pembekal tetap periuk kera dari Pahang.

“Saya hanya mengambil tempahan setiap hujung minggu memandangkan saya masih bertugas sebagai guru,” katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Mengenai proses menyediakan hidangan itu, Azizah berkata, sebaik periuk kera tiba dari Pahang, ia akan dibersihkan bagi membuang kotoran sebelum disimpan di dalam bekas.

Ketika mahu digunakan, beras pulut yang direndam akan dimasukkan dengan berhati-hati sebelum dicampur santan, garam serta sedikit gula dan dikukus.

“Selepas masak, lemang itu dibiarkan sejuk sebelum dibungkus mengikut pesanan pelanggan dan saya jual mengikut pakej bersama rendang ayam atau daging.

“Saya juga menerima tempahan sekitar Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail, Bandar Utama dan Puncak Alam. Selain lemang, nasi lemak periuk kera turut dijual,” katanya.

Mengenai masa depan, Azizah berkata dia dan adik beradiknya berhasrat menambah beberapa cawangan selain mahu menghasilkan produk sejuk beku.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang kami akan mengeluarkan produk sejuk beku lemang periuk kera untuk Aidilfitri nanti,” katanya yang boleh dihubungi melalui Facebook Kuntum Aisya Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:19 AM