KHUSYUK peserta mengambil bahagian.
BANGGA dengan hasil kerja sendiri.
PLATFORM berkarya untuk peminat mural atau seni grafiti.
KAUNTER menempatkan agensi bawah kementerian.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Mewujudkan atmosfera mesra generasi belia atau Gen Y menjadi objektif utama golongan itu diraikan dalam Festival Catur & Gen Y Kreatif anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KPW) serta Perbadanan Putrajaya di Menara Seri Wilayah Putrajaya baru-baru ini.

Malah golongan itu mewakili majoriti penduduk Wilayah Persekutuan semestinya peranan dan pembabitan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan amat penting. Atas dasar mewujudkan keharmonian selain memanfaatkan aktiviti hujung minggu dengan kegiatan lebih sihat, karnival berlangsung sehari itu pilihan yang terbaik.

Berjaya cipta rekod

Satu kebanggaan penganjuran kali pertama pihak KPW apabila berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung. Penganjur berbangga apabila menjadi catatan Malaysia Book of Records dengan jumlah penyertaan teramai penganjuran pertandingan catur di Malaysia.

Setiausaha Bahagian Sosio Ekonomi Kementerian Wilayah, Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, pihaknya berbangga menarik penyertaan teramai sekali gus menjadi pertandingan terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

“Hari ini dengan penyertaan 1,571 peserta membabitkan dua kategori kejohanan iaitu Terbuka dan Junior, kami diiktiraf selaku pertandingan catur terbesar dengan jumlah peserta teramai.

“Reaksi menggalakkan diterima atas kerjasama Persatuan Catur Kuala Lumpur serta komuniti catur tempatan yang menguar-uarkan pertandingan terbabit. Bukan saja jagoan tempatan menggilap serta mengasah skil permainan ini malah acara terbabit mendapat perhatian peserta luar seperti India dan Filipina.

“Peserta berusia tujuh tahun sehingga 50-an. Kami turut menerima kehadiran penduduk luar Putrajaya menyertai program itu,” katanya.

Tambahnya, selain program Karnival Gen Y Kreatif dan Pesta Catur Perdana, lebih 40 acara lain turut memeriahkan Hari Wilayah.

Kumpul peminat catur

Peserta catur, Nur Annies Syarirah Ismail berkata, menyertai antara pertandingan terbesar pernah dianjurkan dalam Malaysia membuatkan dia teruja.

“Saya sangat meminati permainan catur. Pernah mewakili kelab dan sekolah ke pertandingan luar. Jadi apabila guru memaklumkan mengenai pertandingan ini, saya mendaftar menyertai pertandingan terbabit.

“Boleh dikatakan saingan diterima dalam kalangan peserta hebat bukan sekitar Selangor mahupun Kuala Lumpur saja, sebaliknya dari seluruh negara termasuk Terengganu dan Perak.

“Pertandingan ini satu usaha baik mengumpul semua peminat sukan ini bertanding menerusi temasya terbesar membabitkan catur,” katanya yang hadir bersama adiknya, Nur Ain Insyirah Ismail.

Kongsi bakat bidang kreatif

Dalam slot Karnival Gen Y Kreatif, KWP menampilkan pelbagai pengisian antaranya bazar usahawan Gen Y Kreatif, ‘food truck’, silap mata, drumline dan pertandingan mural.

Pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat Wan Abu Zar Wan Abdul Hamid dan temannya Muhammad Khaizri Mohamad Khairil cuba memberi saingan kepada lebih 20 peserta berentap dalam pertandingan itu.

Kata Abu Zar, ini satu platform mencungkil kreativiti Gen Y.

“Mural dan grafiti sebenarnya seni makin berkembang dalam kalangan anak muda. Cumanya ada sedikit kekangan jika kami ingin lakukan di luar kerana ada tanggapan seni ini satu bentuk vandalisme. Tetapi jika diberi ruang dan peluang seperti pertandingan hari ini kami anak muda pastinya menghargai usaha KWP.

“Saya dan rakan berasa ini pengalaman serta pendedahan baik terutama dalam penampilan sulung. Kami dapat bergaul baik dengan artis jauh lebih berpengalaman di sini. Mungkin memerhati mereka bekerja dan berkarya memberi panduan dan tip baik untuk digunakan dalam pertandingan lain pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:20 AM