REKAAN Ramayana daripada Raja Rezza Shah.
AMISHA Pateel dinantikan peminatnya.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Acara makan malam, persembahan fesyen dan konsert bersama bintang terkemuka Pakistan, Komal Rizvi dan Akhtar Chanal berlangsung dengan meriah dan penuh warna-warni, sempena Festival Ziryab Musiqa 2017 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.

Festival julung kali diadakan di negara ini turut diserikan dengan kehadiran tiga bintang ternama Bollywood - Preity Zinta, Amisha Pateel dan Jackie Shroff yang muncul pada majlis makan malam.

Turut tampil menghiburkan tetamu ialah Dayang Nurfaizah dan pendatang baru dalam arena seni suara, Natasha Sass. Manakala Afdlin Shauki selaku pengacara majlis.

Acara anjuran The Wee Folk Entertainment Sdn Bhd itu menyatukan muzik dan fesyen selain turut menyaksikan penyatuan tiga negara, Malaysia, India dan Pakistan dalam satu festival yang dibawakan oleh produk barang kemas, Ceres Jewels dan Malaysia Major Event.

Pembukaan festival malam itu dimulakan dengan persembahan tarian dan nyanyian mengisahkan percintaan raja serta permaisuri diikuti pertunjukan fesyen daripada Navneet Goenka dan Datuk Seri Raja Rezza Shah yang melancarkan rekaan berjudul Ramayana.

Amisha, Jackie dan Preity muncul di pentas menggayakan busana Navneet Goenka. Kehadiran mereka sememangnya dinantikan oleh peminat tegar filem Bollywood. Kemeriahan acara bertambah dengan persembahan tarian istimewa The Lollypop Group yang diterbangkan dari India.

Acara itu yang diadakan bertujuan memperkasakan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan dan acara khas di negara ini serta seluruh Asia selain untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat tarikan pasaran barang kemas serta fesyen mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 5:05 AM