AHMAD (tengah) melihat pembungkusan produk HAFI sambil diperhatikan Norlia (kanan).
Mohd Amin Jalil dan Ayshah Mohd Jamaludin
am@hmetro.com.my


Seremban: SME Corporation Malaysia (SME Corp) meluluskan geran bernilai RM164 juta untuk 1,866 permohonan di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) sejak ia diperkenalkan hingga Februari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata di bawah program itu, Melaka adalah negeri yang menerima geran BEEP tertinggi membabitkan 327 usahawan dengan nilai peruntukan RM24 juta.

Beliau berkata, ia diikuti Terengganu dengan 196 usahawan (RM25 juta), Pulau Pinang membabitkan 146 usahawan (RM17 juta) dan Negeri Sembilan pula membabitkan 148 usahawan dengan peruntukan RM16 juta.

“Kelulusan tertinggi membabitkan subsektor F&B (makanan dan minuman). Pengeluar produk makanan ini yang terbesar yang kita bantu di bawah program BEEP.

“Kita akan teruskan BEEP bagi memastikan usahawan Bumiputera PKS (perusahaan kecil dan sederhana) akan terus dibantu di seluruh negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Hajjah Aminah Food Industries Sdn Bhd (HAFI) di Rahang di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan HAFI Norlia Yusof, Pengarah SME Corp Negeri Sembilan Faiz R Sutarji dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Sembilan Zetty Hamimi Zakaria.

Ahmad berkata, Malaysia kini mempunyai 645,000 usahawan PKS dan daripada jumlah itu, kira-kira 37 peratus ialah Bumiputera.

“Jadi angkanya masih kecil dan daripada 37 peratus usahawan Bumiputera itu, 88 peratus adalah dalam kategori mikro. Mikro ini jualan tidak lebih daripada RM300,000 dan (mempunyai) pekerja lima (orang) ke bawah.

“Jadi, usahawan Bumiputera ini masih perlu dipertingkatkan,” katanya.

Mengenai HAFI, beliau berkata, syarikat itu antara contoh kepada usahawan PKS lain untuk mencapai kejayaan.

“HAFI ini dalam kategori kecil kerana jualannya mencecah RM3 hingga RM5 juta. Saya nak tengok lebih ramai usahawan wanita pada masa akan datang,” katanya.

HAFI adalah perusahaan bertaraf empat bintang di bawah Penarafan Daya Saing PKS dan Peningkatan (SCORE) dan diterajui usahawan wanita Bumiputera di Negeri Sembilan.

HAFI ditubuhkan pada 2000 membekalkan produk halal seperti masakan Maghribi, pai kentang lecek (potess) dan daging proses untuk syarikat besar seperti FELDA D’Saji dan hotel bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Norlia berkata, produk makanan itu kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Australia, China, Brunei, Singapura, Filipina dan Hong Kong.

“Kami (sedang) dalam perbincangan dengan Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata, produk HAFI turut dibekalkan kepada syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Singapore Airlines, China Airlines, Saudi Airlines dan KLM Royal Dutch Airlines.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 5:05 AM