JAILANI (enam kanan) dan Yusof (empat kanan) bersama peserta Satu Komuniti Satu JPJ.
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


Hulu Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganggarkan 3.5 juta rakyat di negara ini yang layak mempunyai lesen memandu namun tidak mengambil ujian memilikinya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusof Ayob berkata, setiap tahun hanya 500,000 yang melalui ujian mendapatkan lesen memandu sedangkan jumlah sebenar lebih besar.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kesedaran pentingnya memiliki lesen memandu, JPJ memperkenalkan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) sejak 2009.

“Sejak diperkenalkan hingga kini 265 siri program diadakan dan 117,224 berjaya melalui ujian yang ditetapkan dan memiliki lesen motosikal B2.

“Di Terengganu 9,592 berjaya memiliki lesen motosikal B2 sejak program itu diperkenalkan dan JPJ menyasarkan golongan yang berusia 45 tahun ke atas termasuk Orang Asli di dalam progrm SKSJ,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup SKSJ Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Ghazali Taib.

Dalam pada itu, Yusof berkata, statistik kemalangan di negara ini menunjukkan jumlah besar iaitu mencecah 700,000 kemalangan setiap tahun.

“Sebanyak 80 peratus daripada kemalangan yang berlaku berpunca daripada sikap pemandu.

“Oleh itu, JPJ berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya memiliki lesen memandu selain memperbaharui cukai jalan kenderaan bagi membolehkan pengguna menuntut pampasan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, antara faktor dikesan membabitkan penunggang motosikal atau pemandu kereta tanpa lesen ialah kekangan waktu untuk ke institut memandu selain buta huruf.

“Justeru, melalui SKSJ JPJ mengambil pendekatan melakukan ujian secara santai selain ujian undang-undang dijalankan secara kelompok dan lisan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:03 AM