HAFIFI (kanan) antara atlet yang diharapkan menyumbang pingat.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad angkat berat negara berada di landasan tepat untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel tahun ini apabila menutup tirai kejohanan Terbuka Australia dan Jemputan Antarabangsa Australia dengan meraih enam emas dua perak.

Kejayaan itu juga secara tidak langsung memperbaiki pencapaian tahun lalu - dua emas, dua perak dan satu gangsa - sekali gus mampu menyuntik semangat skuad negara yang juga akan beraksi di Sukan SEA Ogos ini.

Bagaimanapun enam emas yang diperoleh di Melbourne menjanjikan petanda positif buat skuad negara untuk meraih lebih daripada satu emas di temasya Sukan Komanwel Gold Coast di Australia tahun depan.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ong Poh Eng berkata beliau gembira dengan kejayaan barisan atlet negara di Melbourne.

Bagi beliau, pencapaian itu memberi harapan cerah kepadaa skuad angkat berat negara di Sukan Komanwel nanti.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian mereka dan kesemua atlet angkat berat negara menunjukkan peningkatan biarpun bukan mudah untuk mencapai kemenangan.

“Namun mereka perlu terus kekal fokus apabila turun beraksi di Sukan SEA nanti kerana saingan menjanjikan cabaran berbeza dan lebih sengit,” katanya.

Skuad angkat berat negara ke Melbourne menghadiahkan enam emas menerusi Hafifi Mansor dalam kategori 69 kilogram (kg), Muhd Fazrul Azrie (77kg) dan Muhammad Azroy Hazalwafie, (56kg) dengan masing-masing menghadiahkan dua emas untuk setiap kategori.

Perak disumbangkan Muhammad Zaidi Mohd Nordin menerusi kategori 62kg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:21 AM