FATIN Nurfatehah Mat Salleh.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pemanah wanita negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh (gambar) tidak meletakkan harapan terlalu tinggi apabila turun beraksi pada siri kedua Piala Asia di Thailand bermula esok.

Jelasnya, kejohanan antarabangsa itu yang pertama untuk dirinya serta rakan sepasukan sejak kali terakhir menyertai pertandingan pada Oktober tahun lalu.

Menurutnya saingan di Bangkok lebih terarah untuk menilai prestasi menjelang temasya Sukan SEA pada Ogos nanti.

“Sebenarnya agak janggal kerana sudah lama tidak tampil di pentas antarabangsa, mungkin ambil masa untuk mendapat rentak.

“Sebab itu saya tidak meletakkan sasaran tinggi, cuma berharap mampu mendapat pingat. Malah ini peluang untuk saya melihat sendiri prestasi pesaing dari Asia Tenggara,” jelas pemanah utama compound negara itu.

Pemanah lelaki negara, Zulfadli Ruslan pula mengakui tidak sabar beraksi selepas sekian lama sekadar menjalani latihan dan menyertai pertandingan tempatan.

“Memang tidak sabar namun cabaran pasti sengit kerana kebanyakan kuasa Asia dan Eropah turut kali ini,” katanya.

Bagaimanapun Zulfadli harus menunggu bagasi mengandungi peralatan miliknya yang tercicir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba hari ini.

Seramai lapan pemanah recurve serta lapan compound menggalas cabaran negara di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:24 AM