NUR Aiman (kanan) konsisten teraju perlumbaan.
myMetro

Seremban: Strategi meloloskan diri dari kumpulan besar pada pusingan kedua perlumbaan nyata membawa tuah buat pelumba Pelapis Kebangsaan Muhammad Nur Aiman Rusli apabila menamatkan Lebuhraya Lelaki Bawah 19 Tahun pada kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) 2017 di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pagi semalam.

Sekadar berada di kedudukan 10 terbaik pada JCM 2016 di Johor Bharu dan tidak menyertai sirkit di Kuala Terengganu, Nur Aiman ternyata sukar digugat sebaik saja meloloskan diri pada pusingan kedua.

“Musim lalu saya hanya berada di kedudukan 10 terbaik pada saingan di Johor Bharu dan tidak menyertai perlumbaan di Kuala Terengganu kerana menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Tapi kali ini saya hadir dengan semangat membara untuk membuktikan kemampuan. Bermula pusingan kedua, saya memecut untuk berada di depan dan meneruskan kayuhan dengan konsisten tanpa menghiraukan pelumba di belakang.

“Perlumbaan kali ini banyak kepada laluan berbukit yang memberikan halangan kepada pelumba. Alhamdulillah strategi dirancang berjaya, terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dan kemenangan ini untuk kami semua,” jelasnya yang turut mencatat kemenangan kategori Kriterium Lelaki B-19, semalam.

Nur Aiman menamatkan perlumbaan sejauh 94 kilometer di tempat pertama meninggalkan pelumba Perak, Muhammad Faiz Shaiful Rizal manakala Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dari Terengganu ketiga.

Bagi kategori B-17 pula, tuah memihak buat pelumba Kelantan Mohammad Azlan Mohd Azmi yang menamatkan perlumbaan di tempat pertama susulan pelanggaran beberapa pelumba kelompok depan pada 70 meter terakhir.

Azlan yang ketika itu berada dalam kelompok kedua berjaya mengelakkan diri untuk menamatkan perlumbaan. Mohd Iqbal Zuraini (Selangor) kedua dan Muhammad Ramadhan Mohd Tarmizi (Pelapis Kebangsaan) ketiga.

Azlan berkata, kejayaan menaiki podium dan memakai jersi kuning begitu bermakna buat dirinya dan menjadikannya semangat untuk terus bersaing pada saingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:27 AM