TAHAP Masters Malaysia telah dinaik taraf ke peringkat dua.
myMetro

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melihat dari sudut positif selepas tidak dipilih menganjurkan kejohanan bertaraf Peringkat Dua (Grand Slam) oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurut Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew paling penting sekarang ini adalah kejohanan kedua Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Masters Malaysia (Grand Prix Emas) sudah dinaik taraf.

“Kami bukannya hanya duduk saja dan membiarkan perkara ini berlaku. Bagaimanapun, ada juga dari sudut positif kerana paling penting tahap Masters Malaysia sudah melonjak (Peringkat Empat),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis BWF semalam.

Sebelum ini kejohanan kedua terbesar yang dianjurkan di Malaysia itu hanya menawarkan hadiah AS$150,000 (RM665,000) namun dinaikkan kepada AS$350,000 (RM1.5 juta).

“Kami memang gembira dengan perubahan ini dan ini adalah sesuatu yang positif buat Malaysia. Kita bukannya kehilangan sesuatu tapi terus ke depan dan kekal di mana kita berada sekarang. Ia harus dilihat dari sudut positif.

“Bagaimanapun, kita selalu membandingkan dengan negara lain. Kenapa kita perlu berbuat demikian sedangkan kita boleh lihat kepada diri sendiri dan sekurang-kurangnya ada peningkatan,” kata Lawrence.

Selain Malaysia, turut menganjurkan kejohanan Peringkat Empat adalah Hong Kong, India, Indonesia, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

Hasrat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Peringkat Dua tidak kesampaian apabila BWF memilih China, England dan Indonesia, manakala Peringkat Satu untuk Grand Slam Akhir yang sebelum ini dikenali sebagai Siri Super Akhir di Dubai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:34 AM