Mazlah (kiri) dan Rozinah diraikan dengan tandu yang dibawa oleh rakan guru SK Merbau Sempak.

Shah Alam: Dua guru dirai bagaikan raja sehari pada majlis persaraan anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak di sini, Jumaat lalu.

Rozinah Ali, 56, dan Mazlah Bujang, 55, diarak dengan tandu serta diiringi paluan alat muzik jador dan tetuang umpama pasangan berkahwin.

Rozinah yang mengajar mata pelajaran matematik dan sains selama enam tahun di sekolah itu berkata, dia terharu serta bersyukur, malah majlis persaraannya itu akan menjadi sejarah buatnya.

Katanya, majlis persaraan itu turut mengimbau saat manis ketika dia melangsungkan perkahwinan hampir 30 tahun lalu.

“Saya tak sangka diarak dengan tandu dan diiringi paluan alat muzik jador serta tetuang, seakan-akan sambutan untuk orang yang baru berkahwin.

“Seronok apabila disambut sebegini, cuma bezanya hari ini dua-dua pengantin perempuan,” katanya berseloroh ketika ditemui.

Bagi Mazlah, dia turut terkejut dan tidak menyangka sambutan kali ini unik serta meriah kerana sepanjang 24 tahun perkhidmatannya di sekolah itu, ini julung kali pengurusan sekolah meraikan pesara guru dengan tema Melayu Klasik.

“Saya memang tahu mereka (pihak sekolah) akan mengadakan majlis ini cuma saya tak sangka duduk di pelamin sekali lagi.

“Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis ini dan kenangan ini akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya yang turut sebak kerana meninggalkan sekolah itu.

Mereka kemudiannya naik pelamin dan disambut dengan persembahan pelajar. Kedua-duanya kemudian melepaskan burung merpati sebagai simbolik perpisahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:36 AM