BADDROL (tiga dari kanan) menerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFAM-Asiana.my untuk Februari, semalam.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Shah Alam: Pemain tengah Baddrol Bakhtiar mengakui suasana dalam kem Harimau Malaysia tetap tenang dan fokus dalam menghadapi aksi persahabatan antarabangsa dengan Filipina di Manila, Rabu ini meskipun di sebalik tanda tanya mengenai kedudukan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Pertemuan di Stadium Memorial Rizal itu aksi pertama skuad kebangsaan tahun ini namun dilihat cukup penting untuk mengukuhkan kedudukan Kim Swee yang dilaporkan goyah jika berlaku perubahan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sabtu ini.

Menurut Baddrol, spekulasi itu langsung tidak menjejaskan tumpuan pemain yang mahu memulakan kempen tahun ini dengan keputusan positif selepas episod mengecewakan pada saingan Piala AFF tahun lalu.

“Kami sebagai pemain hanya fokus di padang dan mengikut arahan jurulatih,” jelasnya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Kim Swee bersedia menerima apa saja kemungkinan mengenai kedudukannya selepas pemilihan Exco baru FAM pada Kongres Ke-53 meskipun masih memiliki baki kontrak sehingga hujung tahun ini.

Calon jawatan Presiden FAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini membayangkan akan mencari jurulatih kebangsaan baru dengan bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim, Mario Gomez antara pilihannya.

Baddrol yang ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFAM-Asiana.my untuk Februari semalam menyatakan kemenangan ke atas Filipina penting buat Harimau Malaysia.

“Saya harap kami akan bangkit di Filipina untuk mendapatkan keputusan positif. Kalau bersatu hati dan lebih fokus, kita boleh menang,” katanya.

Baddrol menerima anugerah itu menerusi undian peminat tempatan selepas menyumbat empat gol untuk membantu Helang Merah mengungguli takhta Liga Super mengetepikan empat calon lain yang kesemuanya pemain import - Mohamadou Sumareh dan Matheus Alves (Pahang), Mark Hartmann (Sarawak) dan Mohamad Ghaddar (Kelantan).

Ini kali kedua pemain berusia 29 tahun itu memperoleh anugerah yang sama apabila meraih anugerah bagi Ogos 2016.

Sementara itu, penyerang import Negeri Sembilan Bruno Suzuki dipilih Pemain Terbaik Liga Perdana PFAM-Asiana.my bagi Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:36 AM