Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Warga emas digalak mengamalkan gaya hidup sihat untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka. Ia boleh dicapai dengan amalan diet seimbang, tidak merokok dan mengambil alkohol, mengekalkan berat badan ideal serta bersenam.

Malah, amalan gaya hidup sihat juga dapat mencegah daripada penyakit kronik dan komplikasi yang secara langsung atau tidak mampu meningkatkan risiko untuk jatuh.

Selain itu, langkah lain yang perlu diambil untuk mengurangkan faktor risiko yang boleh mendorong mereka jatuh juga perlu diketahui.

Kebanyakan kejadian jatuh dalam kalangan warga emas dikaitkan dengan faktor risiko yang boleh dikenal pasti dan diubah suai. Terdapat beberapa faktor untuk mengurangkan risiko jatuh seperti:

1. Persekitaran

Pengubahsuaian rumah. Elak daripada bahaya di dalam rumah dan pasang alat bantuan atau perlindungan.

• Buang kotak, surat khabar lama, wayar elektrik dan telefon dari kawasan laluan.

• Pindahkan meja makan, rak majalah dan pasu dari kawasan laluan.

• Lekatkan permaidani yang mudah bergerak dengan pelekat atau lapikkan dengan alas sesuai. Pilihan lain, elak menggunakan permaidani.

• Baiki lantai kayu yang longgar.

• Simpan pakaian, pinggan mangkuk, makanan dan keperluan lain di tempat yang mudah dicapai.

• Cuci segera tumpahan cecair, minyak atau makanan.

• Gunakan lilin lantai yang tidak licin.

• Gunakan tikar yang tidak licin agar tidak tergelincir dalam bilik air dan tab mandi.

• Pasang alat pelindung tangga atau pemegang sisi.

• Pencahayaan yang baik.

Reka bentuk atau kemudahan yang mesra warga emas di persekitaran awam. Misalnya:

• Perlu ada polisi, pembangunan dan penguatkuasaan.

• Bangunan dan jalan yang bebas halangan kepada warga emas.

• Pengangkutan awam yang mencukupi.

• Kejiranan yang selamat.

• Tempat letak kereta untuk warga emas yang dekat dengan bangunan dan pengangkutan.

• Tempat untuk aktiviti fizikal dan senaman yang selamat serta mesra warga emas.

2. Ubat-ubatan

Warga tua cenderung untuk mengambil ubat lebih banyak daripada golongan muda. Malah, mereka lebih mudah mendapat kesan sampingan ubat kerana mekanisme penyerapan dan metabolisme ubat berubah.

• Memastikan ubat yang diambil disemak dan diubah suai oleh doktor.

• Mengurangkan bilangan pengambilan ubat.

• Mudah dimakan.

• Perlu mendapat nasihat doktor untuk ubat yang dibeli sendiri di farmasi.

Masalah perubatan

Masalah perubatan boleh dikaitkan dengan risiko jatuh ialah perubahan yang berlaku disebabkan penuaan seperti pengurangan kapasiti fizikal, kognitif dan efektif disebabkan penyakit kronik.

Tujuan merawat masalah perubatan adalah bagi membantu menghilangkan atau meminimumkan ketidakupayaan sekali gus dapat mengurangkan risiko jatuh.

Berikut masalah perubatan yang perlu ditangani:

• Rentak denyutan jantung yang tidak normal dan tekanan darah rendah.

• Ubat yang terlalu banyak terutama yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah.

• Masalah berjalan dan keseimbangan.

• Masalah lemah otot dan pergerakan.

• Kekurangan vitamin D dan kalsium.

• Masalah penglihatan terutama sekali katarak (selaput mata).

• Penjagaan kaki dan kasut atau alas kaki yang tidak sesuai.

Faktor Pemakanan

Perubahan deria rasa dan struktur organ penghadaman akibat penuaan boleh mempengaruhi pengambilan makanan dan status kesihatan warga emas.

Kehilangan deria bau dan rasa, kurang penglihatan, kehilangan gigi serta fungsi usus yang berkurang boleh memberi kesan dalam penghadaman zat makanan.

Bagi meningkatkan selera, warga emas boleh mencuba kepelbagaian rasa dan tekstur makanan yang baru selain meningkatkan tahap penglihatan mereka melalui cara yang sesuai.

Mereka perlu mendapatkan gigi palsu yang sesuai untuk meningkatkan kebolehan mereka mengunyah makanan. Selain itu, makanan boleh dipotong, stim, rebus atau kisar untuk menangani masalah makanan yang keras.

Ini memudahkan mereka mengunyah tanpa perlu mengorbankan nilai nutrisi makanan.

Kurang senaman

Senaman dan aktiviti fizikal yang diamalkan sentiasa dapat meningkatkan kesihatan tulang, otot dan sendi. Ia dapat meningkatkan masalah tindak balas, mobiliti dan keseimbangan sekali gus mengurangkan risiko jatuh atau kecederaan.

Ia juga dapat mencegah dan melambatkan permulaan penyakit serta ketidakupayaan yang boleh menyumbang kepada risiko untuk jatuh.

Sumber: www.myhealth.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 11:05 AM