ISMAIL (tiga dari kanan) melancarkan program DanaNITA sambil disaksikan Shahrizat.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Sehari selepas menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lalu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) melancarkan program pembangunan perniagaan khusus dikenali DanaNITA, bagi menghargai dan memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan.

Dana sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi program berkenaan bagi menggalakkan pembabitan wanita lebih agresif dalam bidang perniagaan.

Ia sekali gus membantu wanita untuk meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah dan memberi suntikan modal bagi prestasi perniagaan usahawan wanita ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program DanaNITA itu dibahagikan kepada dua skop utama.

“Pertama, kita akan fokus kepada latihan dan bimbingan manakala, kedua memberi pembiayaan khas bagi merancak penyertaan wanita dalam dunia keusahawanan.

“Wanita hari ini bukan lagi golongan yang sinonim dengan kerja di ceruk dapur, mengasuh anak kecil, melayan suami dan menguruskan rumah tangga saja kerana terbukti ramai wanita gah melakar pelbagai kejayaan dalam pelbagai sektor, malah melangkaui persada antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran DanaNITA di Hotel Premiera, baru-baru ini.

Hadir sama, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Timbalan Menteri KKLW; Datuk Alexander Nanta Linggi; Timbalan Ketua Setiausaha KKLW (Bahagian Dasar); Datuk Azizan Mohamad Sidin; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Keusahawanan Desa KKLW, Datin Seri Elena Chiang Abdullah dan Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr Yusof Yacob.

Menurutnya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi melatih dan membimbing kira-kira 5,000 usahawan dan RM30 juta disalurkan untuk pembiayaan khas memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Antara latihan dan bimbingan yang akan diberikan MARA adalah pembentukan usahawan, motivasi, pengurusan dan pelan perniagaan bagi mereka yang baru bertatih untuk menjadi usahawan.

Pembiayaan khas itu pula akan disalurkan bagi memperkasa lebih 1,250 usahawan wanita.

Skim berkenaan terbuka kepada usahawan berumur antara 18 dan 60 tahun dengan membabitkan had pembiayaan sebanyak RM50,000 berkonsepkan pembiayaan patuh syariah.

“Kita membantu lebih ramai peniaga wanita seperti yang berniaga di pasar bagi mengembang jenama produk dan perniagaan mereka.

“Mungkin selepas ini mereka boleh berniaga di 500 projek premis MARA dengan lebih 7,000 ruang niaga di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat merakam penghargaan kepada MARA dan KKLW kerana mengakui kemampuan wanita sekali gus menyediakan peluang pembiayaan dana serta bimbingan menerusi program DanaNITA.

“Akhirnya, usul atau permintaan Wanita UMNO ketika Perhimpunan Agung Wanita UMNO tahun lalu yang meminta kerajaan membantu golongan hawa dalam perniagaan dan mempertingkat ekonomi mereka ditunaikan.

“Justeru, saya berharap agar semua wanita yang menanam impian bergelar usahawan merebut peluang disediakan ini,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Dimaz Health & Beauty, Zainab A Kadir berkata, penyertaan wanita dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan membuktikan mereka ada peranan tersendiri menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup keluarga.

“Golongan hawa perlu lebih berani menggalas tugas dan tanggungjawab lebih besar untuk menambah penyertaan dan bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan dengan mengetuai organisasi penting.

“Dan, bantuan MARA adalah peluang keemasan yang perlu direbut supaya dapat merancang perjalanan perniagaan dengan lebih teratur,” katanya.

Bagi pesara guru yang juga pemilik NMS Rich Resources, Norsiah Mohd Salleh, pendekatan itu mengukuhkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup, martabat dan potensi rakyat khususnya wanita bagi memanfaatkan pembangunan dan kemajuan ekonomi.

Usahawan spa bergerak, Nurul Huda Abd Rahim berpendapat untuk bersaing, wanita perlu ada jenama diri.

“Kita perlu ada keunikan tertentu, malah berani menonjolkan kelainan bagi menarik perhatian pelanggan serta melariskan produk,” katanya.

Nurul Huda yang mula bergerak solo melakukan rawatan kecantikan dari rumah ke rumah sejak 2015 berkata, penjenamaan diri tidak boleh dilakukan dengan ‘mengikut-ikut’ gaya orang lain, sebaliknya perlu bertunjangkan kepada peribadi dan personaliti individu.

“Dengan inisiatif dilaksanakan MARA ini, saya yakin lebih ramai usahawan wanita mampu membuktikan kemampuan mereka dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Mereka yang berminat, boleh mendapatkan borang permohonan DanaNITA di semua pejabat daerah dan negeri MARA atau memuat turun melalui atas talian di laman web rasmi MARA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 12:51 PM