Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Inspektor polis di Raub, Pahang dan koperal polis di Pulau Pinang kerana dipercayai bersekongkol dengan peniaga-peniaga air ketum dengan mengambil rasuah sebagai wang lindungan supaya tindakan undang-undang tidak diambil ke atas mereka.

Kedua-keduanya yang berusia 33 dan 31 tahun masing-masing ditangkap dalam operasi yang berasingan antara jam 9 pagi dan 1 tengah hari hari ini.

Menurut sumber, mereka disyaki mengambil wang rasuah berjumlah antara RM2,000 hingga RM3,500 untuk melindungi pengusaha-pengusaha air ketum ini.

Difahamkan, peniaga air ketum ini boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 iaitu kerana memiliki dan menjual air ketum yang mana boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kedua-duanya akan direman esok untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 6:24 PM