Najib (tengah) beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai ketika hadir melawat Pulau Tuba dan merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Melalui Sistem Grid (Bekalan 24 Jam) di Pulau Tuba, Langkawi. FOTO DANIAL SAAD
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Langkawi: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.55 juta untuk pembangunan infrastruktur Pulau Tuba, di sini, hari ini yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduknya.

Najib berkata, peruntukan itu bagi menyiapkan jeti penumpang di Tanjung Pandan sebanyak RM690,000 dan membaiki semula sistem pendawaian elektrik 30 rumah rakyat miskin membabitkan kos RM60,000 melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Di samping itu, saya juga meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi menambah baik rumah rakyat miskin di Pulau Tuba.

"Hari ini juga saya nak bagitahu kerana ramai orang muda di sini, maka saya nak umumkan tahun depan saya akan senaraikan dalam bajet 2018 pembinaan padang bola mini stadium di sini," katanya ketika berucap merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Melalui Sistem Grid Kebangsaan, di sini, tadi.

Menurutnya, selain itu, TNB juga akan membina sebanyak 38 lampu jalan di pulau ini untuk kemudahan rakyat di sini.

"Projek bekalan elektrik ini menelan kos sebanyak lebih RM46 juta yang siap dalam tempoh 18 bulan sejak saya meluluskan peruntukan itu pada Oktober 2012.

“Dua kabel elektrik dasar laut yang dibina bagi menambah baik kualiti bekalan elektrik di Pulau Tuba dekat sini, dapat menyelesaikan masalah gangguan elektrik yang kerap berlaku di pulau berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 7:24 PM