Makam Nik Dayang yang dipercayai wujud sejak hampir 200 akan dipindahkan ke Makam Hang Tuah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Melaka: Makam Nik Dayang, sebuah kubur lama dianggarkan berusia hampir 200 tahun di Kampung Hailam, Tanjung Kling di sini akan dipindahkan ke Makam Hang Tuah, Tanjung Kling bagi mengelakkan ia menjadi pusat aktiviti khurafat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, keputusan itu diperoleh hasil mesyuarat dengan Jabatan Mufti Melaka dan beberapa agensi kerajaan berkaitan pagi tadi.

“Secara dasarnya mufti, (Datuk Halim Tawil) turut berpandangan lebih elok kubur berkenaan dipindahkan supaya tidak menimbulkan masalah seperti aktiviti pemujaan dan sebagainya.

“Isu pemujaan di kubur yang dipercayai berusia hampir 200 tahun ini timbul selepas 13 Mac lalu apabila semua penduduk kampung diarah berpindah ke luar oleh pemilik tanah.

“Sekiranya mufti bersetuju, kita cadangkan ia dipindahkan ke Makam Hang Tuah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di kubur berkenaan yang turut tertera tulisan ukiran Makam Nik Dayang di sini hari ini.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan keresahan penduduk setempat apabila ia pusara lama itu dijadikan tempat pemujaan sekumpulan individu bagi mendapatkan nombor ramalan empat angka sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:00 PM