Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Budak lelaki lemas selepas tergelincir ke dalam kolam renang dewasa dekat resort di Pantai Cahaya Bulan di sini, hari ini.

Difahamkan ketika kejadian pada 10.30 pagi itu, Nik Muhammad Adam Rosmizi, 5, sedang mandi-manda di kolam renang kanak-kanak, bersebelahan kolam dewasa terbabit.

Bapanya, Rosmizi Ahmad, 46, berkata, dia turut berada di kawasan kolam itu untuk mengawasi anak bongsu daripada empat beradik berkenaan.

"Namun saya tidak sedar yang dia tergelincir dan jatuh ke dalam kolam dewasa. Sebelum itu, arwah ada berdiri dekat kolam dewasa itu.

"Saya segera mendapatkan dia selepas itu dan pengunjung lain pun cuba menyelamatkan arwah, namun sudah terlambat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian anak kesayangan itu kerana sudah ditakdirkan Ilahi.

Dia bersama isteri dan dua anaknya termasuk Nik Muhammad Adam berada di resort itu sejak semalam untuk majlis pertemuan semula rakan sekolah yang berakhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:40 PM