Suspek (baju merah) ditahan polis untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Miri: Lelaki berusia 51 tahun meninggal dunia di Hospital Miri petang tadi selepas dipukul oleh seorang lelaki menggunakan kayu golf di Kampung Simpang Empat, Lutong, Miri, semalam.

Mangsa yang retak pada tengkorak dan mengalami pendarahan di kepala ditemui tidak sedarkan diri di rumah oleh anak saudaranya kira-kira 6.30 petang semalam sebelum memaklumkan kejadian kepada anak mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan kecemasan dan disahkan meninggal dunia pada 3.05 petang tadi.

Menurutnya, susulan daripada laporan yang diterima daripada anak mangsa yang berusia 24 tahun, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 27 dan 51 tahun untuk siasatan lanjut.

"Mangsa dan suspek dikatakan minum minuman keras sebelum mangsa dipukul menggunakan kayu golf.

"Polis turut merampas sebatang kayu golf yang patah dua daripada suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 8:55 PM