Kamarul Zaman (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sepucul pistol dan beberapa barang rampasan berikutan satu tangkapan suspek kes culik seorang surirumah pada sidang media di Balai Polis Yong Peng. Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Batu Pahat: Lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun yang juga dalang utama kes penculikan membabitkan suri rumah di Kulai Johor lalu, pertengahan bulan lalu ditahan polis di Plaza Tol Yong Peng Selatan 5.15 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditemui sepucuk pistol semi auto dan 23 butir peluru kaliber 380 dan telefon bimbit pada badan suspek.

Katanya, suspek dipercayai mahu melarikan diri ke arah utara menaiki sebuah teksi selepas berita kejayaan polis menumpaskan rakan jenayahnya tersebar dalam media.

"Suspek ini adalah penjenayah yang kita syaki membawa lari seorang wanita dalam kes culik ini ke Batam, Indonesia, yang kita percayai dia menggunakan laluan haram dari Penggerang, Kota Tinggi, menggunakan bot, dan seterusnya kita akan menyiasat secara lebih teliti.

"Suspek adalah penjenayah paling dikehendaki dalam kes ini dan dia adalah dalang utama dan setakat ini ada 19 orang dan dia adalah terakhir dalam kumpulan ini yang ditahan.

"Pemandu teksi turut ditahan bantu siasatan. Jika pemandu tidak terbabit kita akan bebaskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 dan Seksyen 5 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya pada sidang media di Balai Polis Yong Peng di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 10:41 PM