Mohd Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bunyi deruan air yang kuat, sampah sarap, pasir atau batu yang hanyut dengan deras antara tanda-tanda awal berlakunya fenomena kepala air.

Ketua Pengurusan Operasi dan Menyelamat Balai Bomba Kuala Lumpur Shamsul Maarif Saibani berkata, kehadiran kepala air mampu disedari lebih awal dengan pandangan mata kasar sekiranya kedudukan seseorang itu jauh dari punca kepala air itu terbentuk.

Menurutnya, kepala air berasal daripada satu kumpulan air yang terbentuk apabila laluan air berkenaan disekat oleh mana-mana objek termasuk kayu balak, ranting kayu mahupun batu sungai.

“Namun, jika penghadang laluan ini pecah, kumpulan air ini akan turun ke bawah dengan kadar yang sangat laju. Pembentukan air inilah yang dipanggil sebagai kepala air,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga tanda awal yang boleh dikesan oleh orang awam ketika mandi di kawasan air terjun mahupun sungai.

“Paling awal adalah serpihan sampah sarap yang mengalir laju secara tiba-tiba. Jika kepala air ini pecah, maka sampah, daun kering ataupun ranting kayu akan terlebih dahulu ditolak oleh arus. Jika tanda-tanda ini kelihatan, segeralah melihat keadaan sekeliling,”katanya.

Menurutnya, tanda kedua adalah pasir sungai yang bergerak di dalam permukaan air.

“Jika kita sedang duduk atau menyelam, kita akan rasa pasir sungai tiba-tiba bergerak laju dan jika kepala air itu dalam skala yang besar berkemungkinan batu-batu kecil juga turut bergerak.

“Ketiga pula adalah bunyi deruan air yang kuat. Semakin dekat kepala air itu, semakin kuatlah bunyi deruan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, jika tanda-tanda sebegini muncul, maka orang awam dinasihatkan supaya menyelamatkan diri dan ahli keluarga terlebih dulu kerana kepala air ini turun dengan laju hanya dalam beberapa saat.

Ditanya berhubung tindakan pihak bomba jika berlakunya kejadian lemas membabitkan fenomena kepala air, beliau berkata, bomba terlebih dahulu akan mengenal pasti keadaan lokasi kejadian.

Menurutnya, aset seperti bot amfibia, bot besi atau jet ski akan digunakan sekiranya lokasi kejadian agak lapang dan terbuka luas.

“Namun sekiranya lokasi terbabit agak sempit dan terhad, kita akan gunakan sepenuhnya tenaga anggota bomba yang menjalankan pencarian mengikut tebing serta menyelam. Selain itu kayak juga akan diguna pakai,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba Jalan Hang Tuah, di sini.

Menurutnya, bersempena musim cuti sekolah yang bermula hari ini, beliau turut meminta ibu bapa supaya sentiasa mengawasi aktiviti anak-anak.

“Jika mahu ke bermandi manda di sungai dan laut, lihatlah dulu cuaca pada hari itu. Malah sentiasalah menyemak ramalan kaji cuaca bagi memastikan percutian itu berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 11:18 PM
Laporan Harian Metro mengenai tujuh kanak-kanak lemas akibat fenomena kepala air di Sungai SKC, berhampiran Kampung Timah, Bukit Beruntung, Jumaat lalu.