Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Ipoh : Budak perempuan berusia tiga tahun ditemui dalam keadaan terapung selepas lemas di kolam inap desa di Tanah Merah, Chemor di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Dhia Zara Mior Azmi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans di inap desa berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata bapa mangsa sedang tidur ketika kejadian itu berlaku.

Katanya, sebaik sedar dari tidur bapa mangsa berusia 41 tahun mencari anaknya di sekitar rumah berkenaan dan mendapati anak bongsunya terapung di kolam berkenaan.

"Mangsa tidak sedarkan diri ketika bapanya mengangkatnya lalu mendapatkan bantuan kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Chang Keong berkata, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati tiada unsur jenayah dan punca kematian adalah disebabkan mati lemas.

"Kes itu diklasifikasikan mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 11:24 PM