GAMBAR dirakam pada 14 Mac 2017 menyaksikan Ketua Jurulatih, Frank Bernhardt pada sesi latihan Skuad Projek Sukan SEA 2017 di padang C Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. FAIL Osman Adnan
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


SKUAD B-22 negara bangkit pada saat akhir untuk mengikat barisan B-23 China dalam perlawanan sulung mereka di Kejohanan Piala Dubai 2017, malam tadi.

Barisan kendalian jurulatih Frank Bernhardt itu seri 1-1, pada pertemuan di Stadium Police Officers Club, Dubai.

Skuad muda negara yang kini dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur beraksi baik pada separuh masa pertama apabila mantap memberi tentangan kepada pasukan lawan.

Bernhardt mengambil pendekatan agak positif apabila menurunkan tiga pemain penyerang Muhammad Syafiq Ahmad, Adam Nor Azlin dan N Thanabalan untuk menggempur kubu China.

Bagaimanapun, skuad negara gagal menyempurnakan peluang sehingga kedudukan kekal 0-0, selepas tamat aksi 45 minit pertama.

Kekebalan benteng negara tidak bertahan pada minit ke-69 apabila China memperolehi gol menerusi sepakan penalti Yao Jun Sheng.

Pemain negara tetap tidak mengalah dan usaha mereka berhasil apabila Thanabalan menghasilkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Skuad kendalian Bernhardt ini akan meneruskan kempen menentang Thailand, Khamis ini, sebelum berdepan Singapura (26 Mac) dan Jordan (28 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 1:06 AM