WAHID (tiga dari kanan) bersama Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman (dua dari kanan) serta Rakan Korporat semasa MSAM 2017 di Menara PNB, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) komited untuk memberi pulangan dividen kompetitif disumbangkan oleh jangkaan sektor korporat yang lebih baik tahun ini.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, bersandarkan pada prestasi suku pertama ini juga menunjukkan peningkatan dalam sektor korporat.

Katanya, sebagai pengurus pelaburan terbesar di Malaysia yang menguruskan dana berjumlah RM260 bilion, PNB sudah melabur dalam syarikat yang terbabit dalam pelbagai sektor utama ekonomi.

“Dengan peningkatan dalam sektor korporat, ia memberi kelebihan kepada kumpulan kerana secara tidak langsung memberi pulangan lebih baik.

“Tahun ini, kami jangkakan sektor korporat akan menunjukkan prestasi lebih baik terutama dari segi pendapatan antara 5.0 hingga 7.0 peratus,” katanya pada sidang media di majlis Jalinan Rakan Korporat Minggu Amanah Saham Malaysia 2017 (MSAM 2017) di sini, semalam.

MSAM 2017 bakal dianjurkan pada 20 hingga 25 April ini di Temerloh, Pahang dengan sasaran 150,000 pengunjung.

Pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung antaranya Ford Ranger 2.2L XLT (AT), Toyota Vios 1.5 GX (AT), Perodua Bezza 1.3 Advance (AT), Yamaha R25 dan pelbagai lagi bagi pengunjung bertuah.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, PNB menyasarkan peningkatan purata tahunan sebanyak 5.0 peratus bagi saiz dananya sepanjang 2017 hingga 2022.

Beliau berkata, jumlah itu menurun berbanding 13 peratus yang dicapai sebelum ini kerana kebanyakan pelabur sudah hampir mencapai kadar had pelaburan yang ditetapkan terutama bagi dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional Bhd.

Pada penghujung 2016, PNB menguruskan RM260 bilion dana yang membabitkan 212 bilion unit dalam edaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 7:05 AM