PASUKAN penyelamat berusaha mencari mangsa yang dihempap pokok di air terjun Kintampo. - Agensi
Agensi

Accra: Dua puluh pelajar mati dihempap pokok ketika mereka berenang di kawasan tarikan pelancong popular di Ghana.

Jurucakap perkhidmatan bomba negara itu, Prince Billy Anaglate berkata, kejadian berlaku petang kelmarin apabila pelajar sebuah sekolah tinggi berenang di air terjun Kintampo, air terjun tertinggi negara itu di wilayah Brong-Ahafo.

Menurut Anaglate, pokok berkenaan tumbang selepas dipanah petir dan jatuh menghempap pelajar berusia belasan tahun itu.

“Mereka sedang berenang di dalam kolam apabila pokok yang dipanah petir tumbang,” katanya.

Menurut Anaglate, 18 pelajar mati ditempat kejadian sementara dua lagi di hospital. Sebelas lagi pelajar yang turut berada di tempat kejadian cedera.

Pelajar berkenaan pergi berkelah di air terjun itu bersama seorang guru mereka.

Seorang saksi memberitahu media tempatan: “Sebatang pokok besar di puncak bukit tumbang ketika hujan bermula dan menghempap kumpulan pelajar itu. Kami berusaha menyelamatkan mereka dengan memotong pokok itu dengan gergaji.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 7:11 AM