SADDAM
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki yang dinamakan Saddam Hussein oleh datuknya dengan harapan dia membesar menjadi orang yang positif.

Malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kerana nama itu dia sukar mendapatkan pekerjaan.

Saddam yang kini berusia 25 tahun berkata, dia sukar mendapat kerja sebagai jurutera perkapalan disebabkan namanya sama dengan bekas pemimpin Iraq yang digulingkan pada 2003 sebelum mati dibunuh tiga tahun kemudian.

“Orang memang takut mengambil saya bekerja. Sudah 40 kali saya memohon kerja malah sampai peringkat temu duga dengan sebuah syarikat perkapalan antarabangsa. Tetapi saya masih lagi menganggur sedangkan rakan yang lain semuanya sudah bekerja.

“Untuk enam bulan pertama saya tidak faham kenapa semua permohonan kerja ditolak.

“Namun selepas bertanya dengan Jabatan Sumber Manusia beberapa syarikat mereka mengaku nama saya puncanya. Menurut mereka, anak kapal dengan nama yang mampu mencetuskan syak boleh menyukarkan operasi,” katanya.

Perkara itu dipersetujui eksekutif kanan sebuah syarikat rekrut terkemuka di New Delhi.

“Masalah akan timbul apabila membabitkan persempadanan negara lain. Jadi isu remeh seperti itu akan menyukarkan kakitangan terbabit dan syarikat setiap kali dia perlu ke luar negara.

“Shah Rukh Khan sekali pun sering ditahan di lapangan terbang di Amerika Syarikat, bayangkan betapa sukarnya jika nama seseorang itu Saddam Husein?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 7:15 AM