KETUA pasukan Citizens David Silva (kiri) melepasi asakan pemain Liverpool. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pengurus Manchester City Pep Guardiola mengakui dirinya menikmati antara hari terbaik sepanjang kariernya selepas pasukannya mengikat Liverpool 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Penalti bekas pemain City James Milner pada minit ke-51 membolehkan Liverpool mendahului perlawanan di Stadium Etihad yang dibasahi hujan namun jaringan penyamaan Sergio Aguero 21 minit sebelum tamat perlawanan memberikan tuan rumah sesuatu untuk diraikan.

“Anda tidak boleh bayangkan. Ia satu daripada hari yang menggembirakan dalam karier saya sebagai pengurus. Saya sungguh bangga,” kata Guardiola, yang pasukannya tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Monaco minggu lalu.

“Selepas Liga Juara-Juara, beberapa hari terakhir latihan begitu menyedihkan. Mereka tidak banyak bercakap.”

“Kami menentang Liverpool yang tidak mempunyai kejohanan peringkat Eropah sepanjang musim ini dan hanya mempunyai seminggu untuk mempersiapkan pasukan. Melihat kepada semangat ditunjukkan serta bagaimana mereka bermain, menjadikan ia satu hari yang paling menggembirakan saya sebagai pengurus.”

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 7:53 AM