AFP

London: Mauricio Pochettino berkata beliau kagum dengan Dele Alli (gambar tengah) selepas pemain tengah Tottenham itu mengisi kekosongan ditinggalkan Harry Kane kerana mengalami kecederaan.

Kane, penjaring gol terbanyak kelab terpaksa diketepikan enam minggu selepas mengalami kecederaan buku lali, sekali gus memaksa Pochettino merombak barisan penyerangnya.

Pengurus Tottenham itu memilih penyerang Korea Selatan Son Heung-Min sebagai pengganti Kane menentang Southampton, namun Christian Eriksen dan Alli yang menjaringkan gol untuk memenangi 2-1 dan melebarkan rekod kemenangan 10 perlawanan berturut-turut di laman sendiri.

Alli menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut dengan penalti pada separuh masa pertama selepas dijatuhkan Steven Davis dan kini mengumpul 17 gol musim ini.

Malah Pochettino menegaskan pemain England itu sekali lagi membuktikan keupayaannya bermain di kawasan berbeza.

“Dele sentiasa mampu mengejutkan saya dan anda tidak boleh menjangkakan apa yang boleh dilakukannya,” kata Pochettino.

“Dia mempunyai personaliti dan karakter yang sukar dipercayai dan apa saja tidak mustahil baginya.

“Dia seorang pemain yang sentiasa berlari di kawasan lawan dan sentiasa melakukan gerakan pintar.

“Di kawasan penalti, Dele kelihatan seperti seorang penyerang kerana kepintarannya dan di luar kawasan dia beraksi seperti seorang pemain tengah.

“Saya menyaksikannya bermain di Milton Keynes pada usia 17 tahun sebagai pemain tengah ketika menentang Manchester United.

“Dele sentiasa mengejutkan saya, mungkin satu hari nanti dia boleh bermain seperti seorang penjaga gol, pertahanan atau bek tengah.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 7:56 AM